EKONOMI GLOBAL

Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini dan seiring dengan prestasi pasaran serantau lain ketika pasaran global terus bergelut dengan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat-China yang belum dapat dileraikan selain jangkaan pertumbuhan pendapatan korporat yang lebih perlahan.

Pada pukul 09.05 pagi ini, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.66 mata kepada 1,611.39 selepas dibuka 0.20 mata lebih rendah kepada 1,614.85.

Di pasaran secara amnya, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 190 berbanding 51 manakala 154 kaunter tidak berubah, 1,511 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 111.020.000 unit bernilai RM53.18 juta.

Pasaran serantau menyaksikan Indeks Straits Times kehilangan 15.75 mata kepada 3,168.94, Nikkei Jepun susut 258,02 mata kepada 20,399.80 manakala Hang Seng Hong Kong merosot 114,58 mata kepada 25,824.72.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata ketidaktentuan mengenai pertikaian perdagangan AS-China yang juga dua kuasa besar ekonomi dunia itu telah menyumbang kepada prospek pertumbuhan ekonomi global lebih perlahan selain turut memberi kesan langsung kepada pendapatan korporat.

“Pada masa ini, ekuiti global masih dalam peringkat konsolidasi dan ini akan mengekalkan aliran tidak menentu bagi saham-saham Bursa Malaysia dalam masa terdekat. Malah, seiring dengan senario sedia ada, kecenderungan untuk pasaran susut dijangka berterusan dan menyaksikan indeks utama lebih rendah lagi selepas ini,” kata firma penyelidikan itu.

Ia turut mengunjurkan tahap sokongan sekitar 1,600-1,610 dengan rintangan antara 1,620 dan 1,630.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM8.56, Public Bank berkurangan 22 sen kepada RM21.30, Yinson rendah 27 sen kepada RM6.57, Petronas Chemical rugi 10 sen kepada RM7.30 manakala Press Metal juga turun kepada RM4.76.

Saham paling aktif menyaksikan Bumi Armada dan Ekovest turun setengah sen masing-masing kepada 22.5 sen dan 82 sen, Genting Malaysia rugi empat sen kepada RM3.18 manakala Iris dan NETX berkurangan 16 sen dan 1.5 sen.

FBM Ace turun 13.81 mata kepada 4,683.83, FBM 70 merosot 65.45 mata kepada 14,238.92, Indeks FBM Emas susut 29.44 mata kepada 11,410.89, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 13.97 mata kepada 11,912.60 dan Indeks FBMT 100 rendah 31.67 mata kepada 11,241.2.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 66.90 mata kepada 5,775.09, Indeks Perladangan berkurangan 4.30 mata kepada 6,723.11 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.97 mata kepada 151.67.

Pasaran ditutup semalam bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

-BERNAMA


Pengarang :