AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini berikutan minat belian baharu terutamanya dalam saham wajaran tinggi didahului oleh Genting Malaysia dan Maxis.

Pada pukul 9.30 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.79 mata kepada 1,606.49, selepas dibuka tinggi 2.48 mata kepada 1,604.7.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 206 berbanding 125, manakala 237 kaunter tidak berubah, 1,336 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata saham berharga rendah dan pasaran lebih luas kebanyakannya kurang memberangsangkan berikutan persekitaran yang masih tidak menentu yang dijangka menyebabkan peserta pasaran buat masa ini kebanyakannya tidak memasuki pasaran.

Dengan FBM KLCI terus susut dan turun naik dijangka berterusan, paras sokongan terus berada pada 1,600 mata, yang akan memberikan langkah-langkah sokongan berikutan keadaan pasaran yang terlebih jual, katanya.

Paras sokongan-halangan, masing-masing berada pada 1,592 serta antara 1,610 dan 1,620.

“Di bawah persekitaran semasa, dilihat dorongan yang lebih kukuh diperlukan untuk ekuiti Malaysia mencatatkan pemulihan berikutan langkah berhati-hati mengenai rundingan perdagangan antara AS dan China masih menyelubungi sentimen pasaran,” katanya dalam nota hari ini.

Bagi kaunter saham wajaran tinggi, Genting Malaysia naik tujuh sen kepada RM3.25, Maxis meningkat empat sen kepada RM5.42, Genting Bhd melonjak lapan sen kepada RM6.26, dan Petronas Chemicals menambah tiga sen kepada RM7.32.

Maybank menokok satu sen kepada RM8.61, TNB naik empat sen kepada RM13.88, IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.75 dan Public Bank susut 10 sen kepada RM21.18.

Bagi saham paling aktif, Eduspec dan Iris Corp, masing-masing naik setengah sen kepada tujuh sen dan 16.5 sen, Metronic Global meningkat satu sen kepada 6.5 sen, KNM tidak berubah pada 39.5 sen dan Netx turun setengah sen kepada 1.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 14.80 mata kepada 11,374.2, FBM Ace meningkat 26.94 mata kepada 4,605.08, FBM 70 menambah 15.65 mata kepada 14,201.5, Indeks FBM Emas Syariah menokok 16.71 mata kepada 11,852.87 dan Indeks FBMT 100 naik 12.49 mata kepada 11,208.1.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 7.95 mata kepada 6,637.27, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 3.10 mata kepada 15,778.01 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.46 mata kepada 151.36.

-BERNAMA


Pengarang :