AGENDA NASIONAL

Bursa Malaysia kembali rendah

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Bursa Malaysia kembali rendah secara menyeluruh hari ini ekoran ketidaktentuan global yang meningkat dan negara utama terus mencatatkan kelembapan.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 16.14 mata kepada 1,584.17, di bawah paras sokongan psikologi pada 1,590 daripada 1,600.31 semasa ditutup semalam.

Indeks dibuka rendah 15.40 mata kepada 1,584.91.

Modal bersaiz sederhana menyaksikan penurunan yang ketara dengan susut 1.8 peratus diikuti sektor teknologi dengan 1.74 peratus dan modal bersaiz kecil 1.6 peratus.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 429 berbanding 23, manakala 97 kaunter tidak berubah, 1,384 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 140.63 juta unit bernilai RM83.65 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata susulan sesi yang stabil semalam, Bursa dijangka berada di bawah tekanan jualan selepas kemerosotan semalaman ke atas ekuiti global dengan hasil bon rendah – menyebabkan kebimbangan mengenai kemelesetan dan mengurangkan sentimen terhadap ekuiti.

“Walaupun AS menangguhkan tarif tambahan ke atas barangan buatan China, keadaan pasaran akan terus dijaga berikutan pertikaian perdagangan tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan dan isu itu boleh berpanjangan,” katanya.

Dari segi teknikal, katanya indeks utama kini di bawah paras sokongan 1,600, dan telah disemak semula kepada paras 1,590 dan 1,580, manakala paras halangan, masing-masing pada 1,610 dan 1,620.

“Bursa tempatan dijangka tidak mencatatkan keselesaan berikutan sentimen pasaran yang luas kekal berhati-hati, berikutan sebahagiannya disebabkan ancaman yang berterusan terhadap persekitaran ekonomi global dan pertikaian perdagangan yang masih belum dapat diselesaikan antara AS dan China,” katanya.

Antara kaunter paling rugi ialah Nestle yang merosot 60 sen kepada RM146.00, Genting Plantation susut 33 sen kepada RM24.02, Public Bank turun 32 sen kepada 20.48, Kuala Lumpur Kepong berkurangan 26 sen kepada RM23.36 dan Hong Leong Financial susut 20 sen kepada RM17.06.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing merosot tiga sen kepada RM8.56 dan RM5.06, Tenaga Nasional berkurangan 12 sen kepada RM13.50, Petronas Chemical turun 17 sen kepada RM7.14, dan IHH susut dua sen kepada RM5.64.

Bagi saham paling aktif, KNM berkurangan 1.5 sen kepada 36.5 sen, Ekovest susut dua sen kepada 80 sen, Berjaya Corp dan Sapura Energy, masing-masing merosot setengah sen kepada 22.5 sen dan 27 sen.

FBM Ace susut 88.84 mata kepada 4,553.02, FBM 70 turun 208.86 mata kepada 13,970.35, Indeks FBM Emas merosot 129.04 mata kepada 11,206.94, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 147.83 mata kepada 11,693.99 dan Indeks FBMT 100 turun 124.87 mata kepada 11,046.10.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 132.60 mata kepada 15,547.69, Indeks Perladangan merosot 91.31 mata kepada 6,630.69 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 2.25 mata kepada 148.90.

-BERNAMA


Pengarang :