AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia mengecil kerugian pada tengah hari

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Bursa Malaysia mengecilkan kerugian pada tengah hari ini dengan berlatarbelakangkan pasaran serantau yang lemah.

Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.07 mata kepada 1,610.34, selepas naik turun antara 1,588.98 dan 1,610.93 sepanjang sesi dagangan pagi.

FBM KLCI dibuka 17.57 mata lebih rendah pada 1,592.84.

Di Bursa Malaysia, keseluruhan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 572 berbanding 266, manakala 360 kaunter tidak berubah, 689 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.91 bilion saham bernilai RM1.32 juta.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura turun 0.61 peratus kepada 3,175.11, Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 0.79 peratus kepada 20,556.92 dan Indeks Nikkei 225 Jepun susut 0.71 peratus kepada 25,966.59.

Pasaran hari ini berdepan keadaan tidak menentu susulan aktiviti penjualan semalaman secara besar-besaran di Wall Street ketika Indeks Dow Jones turun hampir 770 mata berikutan kebimbangan terhadap musibah yang mungkin berlaku daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlarutan.

Tambahan pula, yuan China turun ke paras terendah dalam tempoh 10 tahun kepada 7.05/US$1, kata Rakuten Trade dalam nota hari ini.

“Berdasarkan keadaan itu, Rizab Persekutuan AS mungkin akan didesak untuk menyemak semula kadar faedah rendah untuk menangani yuan yang lemah. Oleh itu, kita mungkin akan menyaksikan beberapa pelarasan sementara buat masa ini dengan belian lemah, terutamanya dalam indeks berkaitan saham perbankan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank menokok satu sen kepada RM8.59, TNB melonjak 14 sen kepada RM13.92, Petronas Chemicals meningkat 17 sen kepada RM7.40, CIMB naik dua sen kepada RM5.05, IHH Healthcare tidak berubah pada RM5 .68, Public Bank turun 24 sen RM21.32 dan Axiata susut 11 sen kepada RM4.83.

Bagi saham aktif, KNM naik satu sen kepada 37 sen, Netx dan Genting Malaysia masing-masing tidak berubah pada 1.5 sen dan RM3.61 manakala MYEG turun tiga sen kepada RM1.51 dan Focus Dynamics susut satu sen kepada 35 sen.

Indeks FBM Emas turun 3.66 mata kepada 11,376.86, Indeks FBMT 100 suust 1.59 mata kepada 11,214.3 dan FBM Ace merosot 23 mata kepada 4,563.05.

FBM 70 turun 6.58 mata kepada 14,124.18 dan Indeks Syariah FBM Emas meningkat 17.09 mata kepada 11,810.72.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 59.97 mata kepada 15,762.06, Indeks Perladangan turun 26.68 mata kepada 6,583.43 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.54 mata kepada 151.59. – BERNAMA


Pengarang :