Ramli Mohd Tahir dan ADUN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof bergambar bersama kakitangan KDEBWM ketika Program kibar Jalur Gemilang dan Kempen Kebersihan sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ke -62 di Batu 14, Hulu Langat pada 26 Ogos 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Cabaran KDEBWM kutip sampah di ‘kediaman ghaib’

HULU LANGAT, 26 OGOS: Pelbagai cabaran dihadapi Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) bagi memastikan pengurusan sampah di Selangor berjalan lancar termasuk di kawasan ‘kediaman ghaib’ yang tidak dikenakan cukai pintu di negeri ini.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, ‘kediaman ghaib’ adalah rumah-rumah yang tidak terdapat dalam dokumen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berbanding dengan kediaman lain yang mempunyai maklumat dalam simpanan PBT.

“Misalnya di Klang ada Kampung Delek, masuk dalam lagi ada Kampung Delek Dalam, Delek Tengah dan bermacam lagi yang kalau ikut atas kertas hanya ada 7,000 buah rumah tetapi bila kita kira di lapangan ada kira-kira 14,000 buah rumah.

“Begitu juga di Selayang Baru kita selalu tersalah kira kerana rumah baharu naik macam cendawan lepas hujan, angka diberi PBT ada 3,000 buah rumah tetapi bila kita kira ada 6,000 buah rumah.

Menurutnya, jumlah rumah di seluruh negeri ini menggambarkan jumlah sampah yang perlu dikutip oleh KDEBWM dengan purata dua hingga tiga kilogram sampah bagi setiap rumah.

“Ini yang menimbulkan kehairan apabila lori kita masuk sampai separuh jalan, lori sampah kita sudah penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kempen Kebersihan Sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-62 KDEBWM di Kompleks Penghulu Batu 14, di sini, hari ini.

Ramli berkata, keadaan ini berlaku apabila ramai pemilik tanah di kawasan terbabit membina rumah sehingga enam pintu untuk disewakan tetapi rumah-rumah tersebut tidak ada dalam pengetahuan PBT.

Katanya, keadaan ini memberi kesan kepada perbelanjaan Kerajaan Negeri.

“Memang dasar Kerajaan Negeri memberi pengecualian cukai pintu kepada rumah di kampung-kampung dan ini menjadikan Kerajaan Negeri melalui PBT tidak menerima apa-apa pendapatan di kawasan tersebut.

“Justeru orang ramai yang mendiami kawasan seperti ini dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan meningkatkan kebersihan terutamanya di kawasan masing-masing,” katanya.


Pengarang :