AGENDANASIONAL

Cadang kembang penternakan daging arnab melalui RMK12

CYBERJAYA, 5 OGOS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar bercadang untuk mengembangkan lagi potensi penternakan daging arnab di negara ini melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, pihaknya akan mengkaji pasaran dan permintaan terhadap daging haiwan berkenaan.

“Jika ia dibentangkan melalui RMK12, kita akan mendapat peruntukan untuk meluaskan lagi pasaran daging ini, namun kementerian tidak mahu program ini sekadar syok sendiri.

“Oleh sebab itu, kita akan bekerjasama dengan pemain industri utama dalam bidang ini, sekali gus membolehkan ia berkesan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengeluaran Arnab Dalam Iklim Tropika di Tamarind Square, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penternak Arnab Malaysia, Aisyaturidha Abdullah berkata, sehingga kini ahli persatuannya mengeluarkan 600 hingga 800 kilogram daging arnab dalam tempoh sebulan.

Katanya, kira-kira 80 peratus bekalan daging disalurkan kepada restoran dan turut mendapat permintaan dari Dubai.

“Pihak kami melihat arnab kini menjadi pilihan penggemar makanan kerana ia dikategorikan sebagai daging eksotik, dan ramai yang menjadikannya sebagai arnab salai alternatif menggantikan daging itik salai.

“Melalui persidangan sebegini kita boleh melihat pasaran serta potensi dan merapatkan lagi hubungan antara pemain industri penternakan daging arnab,” katanya.


Pengarang :