Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Caj kolej kediaman UiTM tampung selenggara kemudahan kolej, fasiliti

SHAH ALAM, 13 OGOS: Tindakan kerajaan mengurangkan peruntukan untuk universiti hampir RM500 juta sejak 2017 menyebabkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) terpaksa mengenakan caj bayaran kolej kediaman bagi semester bermula September ini.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, caj itu dikenakan bagi menampung penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan kolej pelajar serta fasiliti pengajaran serta pembelajaran yang berusia lebih 60 tahun.

Bagi memastikan kelangsungan universiti serta melahirkan lebih ramai graduan yang berdaya saing, katanya, UiTM juga sedang giat menjalankan transformasi berterusan dan peningkatan mutu penyampaian menyeluruh.

“Ia dilaksanakan melalui inisiatif yang strategik bagi mencapai aspirasi untuk menjadi sebuah Universiti Premier bertaraf antarabangsa.

“UiTM mula membuat perbincangan dan kajian terperinci mengenakan caj bayaran kolej kediaman kepada pelajar program diploma sejak 2014 dan pihak universiti kemudian mengambil keputusan melaksanakannya mulai semester September ini,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam laman Facebooknya, dilaporkan mendakwa bermula semester depan pelajar diploma UiTM akan dikenakan yuran kolej kediaman mengikut kategori, masing-masing bilik empat orang orang RM210, bilik tiga orang (RM315) dan bilik dua orang (RM400).

Pada masa sama, Dr Mohd Azraai berkata, pihaknya turut memperkenalkan pengecualian bayaran caj kolej kediaman kepada enam kategori pelajar program diploma.

Katanya, ia mencakupi pelajar daripada keluarga miskin dengan pendapatan sebulan di bawah RM2,500 serta pelajar menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPK) dan aktif pasukan beruniform.

Turut mendapat pengecualian ialah pelajar yang mewakili negara dan diiktiraf Kementerian Belia dan Sukan; dan menganggotai kelab atau persatuan yang cemerlang, mewakili negara dan memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Seiring dengan keperluan pelajar universiti masa kini, terutama di semua 35 kampus cawangan UiTM seluruh negara.

“Kadar bayaran yang akan dikenakan adalah RM2, RM3 dan RM4 sehari bergantung kepada jenis bilik mengikut pilihan pelajar.

Terdahulu, UiTM mengeluarkan pekeliling mengenai caj bayaran kolej kediaman kepada pelajar pra diploma, diploma, Certified Accounting Technicians dan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Senibina yang disediakan tempat tinggal di dalam kampus.

Caj itu dikenakan susulan caj bayaran kolej kediaman dalam kampus universiti itu bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda yang diperkenalkan sejak Disember 2005.


Pengarang :