Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Cari persetujuan terbaik isu pindaan Enakmen Pentadbiran Islam

SHAH ALAM, 29 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mencari kesepakatan terbaik di peringkat tertinggi Pakatan Harapan (PAKATAN) berhubung usul pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor yang didakwa mencetuskan pertikaian, pada akhir bulan lalu.

Katanya, pendekatan yang dibuat ketika menghadiri Mesyuarat Biro Politik KEADILAN, petang semalam bagi memastikan perancangan terhadap enakmen itu dapat dilaksanakan bersama semua komponen PAKATAN, pada masa hadapan.

“Saya melaporkan apa yang sudah berlaku termasuk beberapa perkembangan terhadap enakmen itu memandangkan saya belum pernah melaporkan (enakmen) secara rasmi kepada kepimpinan tertinggi kerana tidak berkesempatan.

“Memang permohonan saya untuk kita bincangkan di peringkat tertinggi PAKATAN bagi mencari konsensus terbaik supaya kita dapat merancang seterusnya bagaimana enakmen ini ingin dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Temu Rapat Naib Canselor dan Pengurusan Kanan Institusi Pengajian Tinggi bersama Dato’ Menteri Besar, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Biro Politik KEADILAN mengadakan mesyuarat dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang antara lain menyarankan Amirudin memberi taklimat penuh dan mengadakan perbincangan mendalam berkenaan isu terbabit pada Majlis Presiden PAKATAN, Jumaat ini.

Ditanya perkembangan terkini program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), Amirudin berkata, secara asasnya kepimpinan tertinggi PAKATAN menerima perubahan dilakukan Kerajaan Negeri berkaitan penjajaran itu.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri diminta untuk memberi pemakluman berkaitan penjajaran terbabit di peringkat akar umbi.

“Sebenarnya, sudah beberapa kali saya lakukan dalam mesyuarat parti termasuk beberapa pertemuan dengan Ahli Majlis dan Ahli Dewan Negeri berhubung asas penjajaran IPR.

“Apa yang paling penting bagi kita adalah kemampanan kepada program berkenaan dan bukannya menjadi populis dalam tempoh singkat dengan program berbentuk ‘cash and out’,” katanya.


Pengarang :