AGENDANASIONAL

Caruman BERNAMA: Kementerian Sumber Manusia belum terima laporan

IPOH, 10 OGOS: Kementerian Sumber Manusia belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), setakat ini.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata, pihaknya juga tidak mempunyai maklumat berhubung isu bayaran balik pinjaman kakitangan agensi berita itu yang tidak dilaksanakan walaupun pemotongan gaji sudah dilaksanakan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika menerima laporan berhubung isu itu daripada mana-mana pihak.

“Jika ada aduan dibuat kepada kami, kami akan ambil tindakan, memandangkan BERNAMA adalah sebuah agensi kerajaan, isu itu akan diselesaikan oleh kerajaan.

“Adalah lebih baik perkara ini dirujuk kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan kira-kira 1,000 Jalur Gemilang kepada orang ramai di Pasar Awam Kampung Tawas, di sini sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Menurut laporan portal semalam, agensi berita nasional itu didakwa menghadapi kekangan kewangan yang memberi kesan kepada caruman KWSP pekerja dan bayaran balik pinjaman walaupun potongan gaji sudah dilakukan

-BERNAMA


Pengarang :