Amirudin Shari melakukan gimik perasmian bersama tetamu jemputan pada Majlis Selangor International Furniture City (SIFC) Launching By KL & Selangor Furniture Association (KSFA) di The Place @ One City Subang pada19 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Ceroboh PKKN, Selangor sedia bertindak

SUBANG JAYA, 19 OGOS: Kerajaan Negeri sedia menyemak isu pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadikan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di Sungai Buloh sebagai ‘sarang’ mereka sejak beberapa tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama EXCO yang berkenaan berikutan status tanah berkenaan diletakkan atas nama Kerajaan Negeri.

“Kita akan semak balik peranan serta perancangan ini bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang kerana ia terletak di antara dua sempadan Pihak Berkuasa Tempatan itu.

“Kerajaan Negeri sedia mengambil tindakan tegas atas sesiapa sahaja termasuk warga asing serta PATI dalam Selangor,” katanya dalam sidang media selepas menyasikan majlis menandatangani memorandum persefahaman International Furniture City @Selangor di One City di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan pencerobohan PKKN oleh warga asing dan majoritinya terdiri dari warganegara Indonesia dan sebahagian kecil rakyat Bangladesh.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak menceroboh tanah di kawasan PKKN.

Namun Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai sebarang kuasa bagi menjalankan tindakan penguatkuasaan di premis PKKN Sungai Buloh kerana status tanah ditukarkan daripada rizab tanah Persekutuan kepada hak milik Kerajaan Negeri pada 2001.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata, tapak PKKN itu dicadangkan sebagai tanah rizab Kerajaan Negeri dan akan didaftarkan atas nama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Dua hari lalu, Jabatan Imigresen Selangor turut menahan 32 PATI ketika operasi bersepadu di kawasan sekitar PKKN.


Pengarang :