AGENDASUKANKINI

Cheng Hoe gugur tiga pemain untuk aksi menentang Indonesia

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe menggugurkan tiga pemain bagi melengkapkan senarai 24 pemain ke Jakarta pada aksi pembukaan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal bulan depan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga pemain berkenaan adalah penyerang Johor Darul Ta’zim, Ahmad Hazwan Bakri (JDT), pemain tengah Selangor, Mohd Faiz Mohd Nasir (Selangor) dan penyerang PKNS FC, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew.

Untuk rekod, Malaysia tewas 0-1 kepada Jordan pada aksi persahabatan tier satu di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, dengan Ahmad Hazwan dimasukkan pada minit ke-61, manakala Mohd Faiz dan Muhammad Jafri tidak diturunkan.

Malaysia bakal menentang Indonesia pada 5 September ini di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Mengulas mengenai keputusan menggugurkan tiga pemain berkenaan, Cheng Hoe menjelaskan Ahmad Hazwan terpaksa digugurkan memandangkan pemain berkenaan jarang diturunkan bersama JDT, sekaligus menjejaskan tempo permainannya bersama skuad kebangsaan.

“Mohd Faiz pula disebabkan dia mengalami demam dan badannya agak lemah sedikit, jadi kita terpaksa tinggalkan dia untuk ke Jakarta nanti, sementara Muhammad Jafri, kita panggil dia untuk memberi peluang kepadanya bersaing di bahagian serangan, tapi saya rasa dia perlu bekerja lebih keras lagi bagi mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan,”jelas Cheng Hoe.

Pengendali berusia 51 tahun itu menegaskan peluang masih terbuka kepada ketiga-tiga pemain berkenaan untuk merebut kembali tempat dalam skuad kebangsaan, sekiranya mana-mana 24 pemain berkenaan mengalami kecederaan selepas kembali daripada Jakarta nanti.

Pada masa sama, Cheng Hoe mendedahkan keputusannya membawa 24 pemain berbanding perancangan asal 23 pemain sebelum ini adalah kerana beliau sedang memantau pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal pemain dialami pemain Pahang itu.

Beliau, bagaimanapun, memaklumkan hanya 23 pemain akan disenaraikan untuk aksi menentang Indonesia nanti.

Selepas menentang Indonesia, Malaysia bakal melayan kunjungan Emiriah Arab Bersatu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September ini.

Senarai 24 pemain:

Penjaga Gol:

Mohd Farizal Marlias (JDT), Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah)

Pemain Pertahanan:

Adam Nor Azlin dan La’vere Corbin-Ong (JDT), Shahrul Mohd Saad dan Nazirul Naim Che Hashim (Perak), Matthew Davies (Pahang), Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Dominic Tan Jun Jin (PDRM FC)

Pemain Tengah:

Mohamed Syamer Kutty Abba (JDT), Brendan Gan (Perak), Muhamad Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Muhammad Akram Mahinan (PKNS FC), Muhamad Danial Amier Norhisham (Felda United)

Pemain Sayap:

Muhammad Safawi Rasid; Muhammad Akhyar Abdul Rashid (JDT), J. Partiban (Perak), Mohamadou Sumareh (Pahang), Muhammad Hadin Azman (Felda United)

Penyerang:

Muhammad Syafiq Ahmad (JDT), Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak), Norshahrul Idlan Talaha (Pahang).

– BERNAMA


Pengarang :