Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

Chong Wei belum bersedia jadi jurulatih

IPOH, 17 OGOS: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkata beliau belum bersedia menerima tawaran menjadi jurulatih skuad kebangsaan dalam masa terdekat ini dan sebaliknya, ketika ini mahu meluangkan masa bersama keluarga, dan melakukan kerja kebajikan.

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ada beri tawaran, tetapi buat sementara ini saya mahu menghabiskan masa untuk keluarga … dalam masa setahun ini, saya mahu fokus kepada apa yang saya boleh buat melalui kerja kebajikan, serta menjadi ‘chef-de-mission’ (CDM) negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas sesi ‘Temu Mesra bersama Wira Badminton Malaysia’ di Akademi Badminton Datuk Wira Lee Chong Wei, di sini hari ini.

“Masih banyak yang saya perlu belajar untuk jadi CDM ini, dulu saya atlet, sekarang saya pegawai dan saya perlu melihat atlet-atlet lain, selain daripada sukan badminton,” katanya.

Pada 13 Jun lepas, Chong Wei mengumumkan persaraan selepas 19 tahun mencurah keringat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Chong Wei, bekas pemain nombor satu dunia, mendambakan 19 tahun hidupnya sebagai pemain badminton profesional, dan menempa nama dalam sukan itu sebagai antara jaguh dunia yang disegani.

Antara pencapaian Chong Wei adalah memenangi pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali, pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Kali terakhir Chong Wei merangkul kejuaraan adalah pada saingan Terbuka Malaysia 2018, yang menjadi gelaran ke-12 dalam kerjayanya.

-BERNAMA


Pengarang :