Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) mencuba mesin pengimbas wajah semasa mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat AirAsia RedQ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 16 Ogos 2018. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Cukai penerbangan ke atas penumpang akan dikaji

Kerajaan kaji cukai dikenakan ke atas penumpang syarikat penerbangan

SEPANG, 16 OGOS: Kerajaan akan mengkaji struktur cukai yang dikenakan terhadap penumpang syarikat penerbangan tambang rendah dan juga perkhidmatan penuh, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana, katanya, adalah tidak adil bagi semua orang untuk membayar jumlah cukai yang sama, katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat AirAsia, RedQ, di sini, hari ini.

“Kita sedang mengkaji (cukai itu) dan jelas sekali sekiranya anda mengenakan cukai keluar yang sama bagi penerbangan kos tinggi dan penerbangan kos rendah, ia adalah tidak adil,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai gesaan daripada industri untuk menangguhkan pelaksanaan levi pelepasan tahun depan sehingga selepas Tahun Melawat Malaysia 2020, manakala yang lain meminta cukai itu dikurangkan atau dimasukkan ke dalam tambang penerbangan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meneliti perkara itu bagi memastikan struktur cukai yang adil kepada semua orang.

“Pada masa ini apabila anda memperkatakan tentang cukai, ia adalah satu tahap cukai bagi semua orang tetapi tidak semua orang itu sama. Jadi kita perlu mengambil kira saiz, kos dan semuanya sekali,” katanya.

Dalam warta yang diumumkan pada 31 Julai lalu, Kementerian Kewangan menetapkan 1 September ini sebagai tarikh efektif bagi levi pelepasan. Setiap orang yang berlepas dari Malaysia ke negara-negara ASEAN akan dikenakan bayaran RM8 bagi penerbangan dalam kelas ekonomi dan RM50 bagi kelas-kelas lain.

Bagi penerbangan ke negara-negara di luar ASEAN, kelas ekonomi akan dikenakan bayaran RM20, manakala kelas-kelas lain sebanyak RM150.

Apabila diminta mengulas mengenai saman oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) ke atas AirAsia, Dr Mahathir berkata : “Apabila terdapat perbezaan dan mereka tidak boleh menyelesaikannya di luar mahkamah, biasanya mereka akan bawa ke mahkamah tetapi saya lebih memilih penyelesaian di luar mahkamah.”

Mengenai cadangan yang diterima daripada pihak-pihak yang berminat untuk memulihkan Malaysia Airlines Bhd, beliau berkata, setakat ini kerajaan masih belum lagi yakin dengan mana-mana cadangan yang diusulkan.

“Tetapi kita akan menimbang semua cadangan yang diberikan kepada kita,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :