Selangorkini
AGENDA JENAYAH

Curi seluar: Setiausaha syarikat dijel sehari, denda RM2,000

PETALING JAYA, 14 OGOS: Seorang setiausaha syarikat swasta dipenjara sehari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri dua helai seluar milik sebuah butik, dua hari lalu.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Yee Sook Lee, 54, selepas wanita itu mengaku bersalah mencuri dua helai seluar panjang bernilai RM109.80 milik butik Uniqlo di pusat beli-belah One Utama, Damansara di sini pada pukul 1 tengah hari, 12 Ogos lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan tiga bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang merupakan jurujual butik mendapati sebuah penggera keselamatan pada pintu masuk telah berbunyi ketika dilalui oleh seorang wanita (tertuduh).

Pengadu bersama pengawal keselamatan butik kemudian membuat pemeriksaan badan terhadap tertuduh dan mendapati terdapat dua helai seluar yang mana tertuduh tidak membuat pembayaran.

Pendakwaan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh dihukum penjara dengan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh bagaimanapun wanita itu yang diwakili peguam Esther Tan merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

– BERNAMA


Pengarang :