AGENDANASIONAL

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Pasaran getah Malaysia dijangka mencatat dagangan kecil dengan aliran penurunan yang lebih ketara pada minggu depan, kata peniaga.

Presiden Persatuan Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low Jau Foo berkata, pasaran menyaksikan peningkatan permintaan dan harga pada minggu lepas tetapi kemudiannya susut pada akhir minggu.

Malah, perang dagangan Amerika Syarikat-China yang berlanjutan serta kebimbangan tiada sebarang pemeteraian perjanjian antara dua kuasa besar ekonomi itu juga hanya menjejaskan pasaran dan berkemungkinan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi global.

“Berikutan ketidaktentuan membabitkan sentimen pasaran, kami menjangkakan keadaan pasaran suram bagi tempoh-tempoh akan datang.

“Kami juga menjangkakan bekalan getah yang meningkat berikutan musim kutipan hasil yang tinggi akan hanya memberi tekanan terhadap harga,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, getah juga perlu menyaksikan perkembangan seperti penemuan baharu penggunaan getah untuk menstabilkan permintaan dan harga komoditi itu di masa depan.

Bagi minggu yang baru berakhir, dagangan pasaran adalah bercampur-campur dan seiring dengan prestasi pasaran hadapan getah serantau.

Namun, penyusutan nilai ringgit ternyata memberi sokongan kepada harga komoditi itu.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 menokok empat sen kepada 538.5 sen sekilogram tetapi lateks pukal turun empat sen kepada 431 sen sekilogram.

Harga penutup pada pukul 5 petang untuk gred tayar SMR 20 meningkat 10 sen kepada 539.5 sen sekilogram manakala lateks pukal berkurangan dua sen kepada 431 sen sekilogram.

Pasaran getah akan ditutup pada Isnin sempena cuti Awal Muharam pada Ahad dan akan beroperasi semula pada Selasa.

– BERNAMA


Pengarang :