Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
AGENDANASIONAL

Dasar kerajaan demi masa depan generasi baharu

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Apa sahaja dasar yang dibuat kerajaan pada masa kini adalah untuk masa depan rakyat terutama generasi masa hadapan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, hala tuju masa depan golongan muda terletak di tangan generasi yang ada untuk mencorakkannya.

“Masa depan mereka itu terletak di tangan kita, ditentukan oleh kita. Apa sahaja dasar yang dibuat oleh kerajaan pada masa kini adalah untuk masa depan mereka.

“Mereka adalah waris kepada negara,” katanya selepas program Konvoi Merdeka Kemas Wilayah Persekutuan 2019, di sini hari ini.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu membabitkan 900 kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas Wilayah Persekutuan.

Antara persembahan yang diadakan ialah nyanyian lagu patriotik oleh 100 anak-anak Tabika Kemas Desa Pandan dan Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA) Jalan U-Thant.

Beliau berkata, program itu bertujuan meningkatkan semangat cintakan negara dan jati diri rakyat selain menaikkan semangat budaya kesukarelawan serta kerjasama antara pemimpin dan masyarakat.

Terdahulu, Rina melepaskan peserta konvoi program itu membabitkan 20 kereta bermula dari Kompleks Komuniti Wanita Kuala Lumpur, Desa Pandan ke destinasi terakhir di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Kampung Sri Batu, di sini.

-BERNAMA


Pengarang :