AGENDA NASIONAL

Data raya bantu rancang operasi haji masa hadapan

MAKKAH, 17 OGOS: Teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) memudahkan perjalanan operasi haji dalam pelbagai sektor, namun ramai yang kurang mengetahui peranan besar ‘big data’ atau data raya dalam melancarkan perjalanan dan merancang operasi haji untuk masa hadapan.

Dengan perkembangan pesat data raya dalam ICT, Lembaga Tabung Haji (TH) tidak ketinggalan mengambil peluang untuk membuat penambahbaikan operasi hajinya setiap tahun terutama melibatkan pengangkutan, kesihatan, kewangan dan kebajikan jemaah.

Pengarah Operasi (Teknologi Maklumat) TH, Za’aba Arpan berkata, sememangnya TH telah mengadaptasi data raya namun dalam kaedah berbeza yang mana data yang diperoleh daripada pelbagai sistem disalurkan untuk kegunaan pihak pembuat keputusan, pengurusan dan petugas haji sendiri.

“Setiap data diperlukan itu dipaparkan supaya boleh buat keputusan pada masa itu, manakala data diperoleh bila tamat musim haji dibawa ke pihak atasan untuk perancangan masa depan, jadi setiap tahun akan jadi lebih baik berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Data raya menggambarkan jumlah data yang besar digunakan organisasi untuk banyak perkara terutama analisis untuk merancang kepada pengambilan keputusan dan strategi organisasi yang lebih baik serta berkesan.

Za’aba berkata, ICT merupakan tulang belakang operasi haji yang mana ia membolehkan operasi di Madinah, Jeddah dan di sini dipusatkan seterusnya merealisasikan penyaluran data ke hujung jari petugas serta pengurusan untuk membuat keputusan tentang sesuatu perkara.

Beliau berkata, setiap sektor operasi haji mempunyai sistem yang tersendiri seperti sistem Sihat untuk kesihatan dan Sistem Bersepadu untuk pengurusan haji, selain sistem-sistem untuk pengurusan kewangan, pemantauan pergerakan jemaah haji dan pengurusan aduan.

“Tetapi bila pengguna terpaksa buka satu-satu sistem ini (untuk dapatkan maklumat), ia akan bertentangan dengan tujuan maklumat di hujung jari untuk petugas dan pengurusan kita, jadi kita perkenal sebuah sistem iaitu Haj Mobility yang mana mereka hanya perlu akses ini sahaja untuk dapatkan semua maklumat,” katanya.

Katanya, TH setiap tahun akan membuat penambahbaikan terhadap bagaimana ICT itu dapat membantu perjalanan operasi haji dan ini dibuat dengan mengadakan ‘post-mortem’ sebulan selepas semua petugas haji kembali sebelum menyerahkan hasilnya kepada pihak pengurusan.

Za’aba berkata, dalam merancang penambahbaikan itu, pihaknya melihat kepada tiga faktor iaitu proses, manusia dan teknologi yang mana berdasarkan pengalamannya, proses adalah faktor terpenting dalam menentukan perjalanan operasi haji pada masa hadapan.

“Kami ikut keperluan pengguna, kalau nak proses baharu maknanya untuk itu akan ada perubahan pada ICT kita. Kita akan bincang dengan pelbagai pihak terutama Jabatan Haji (TH) dan tahun depan kita tentukan operasi bagaimana,” katanya yang telah melihat perkembangan ICT untuk operasi haji sejak 1988.

Pegawai Teknikal IT TH, Mariam Awaludin berkata, semua sistem yang digunakan oleh TH untuk operasi haji adalah berbentuk platform ‘web-based’ yang mana platform itu tidak memerlukan ‘server’ atau pelayan secara fizikal di Makkah tetapi pelayan yang menyimpan data itu berada di Malaysia dikendalikan petugas TH.

“Melalui platform ini pengguna di sini hanya perlu sambungan internet dan boleh mencapai sistem menggunakan berbilang alat seperti komputer, laptop, tab dan telefon pintar. Ia juga memudahkan proses pemantauan petugas IT di sini dan di lapangan yang mencabar terutama ketika Masyair.

“Persediaan pangkalan data untuk semua sistem ini bermula di Malaysia sebelum operasi haji, yang mana kami akan muatkan pangkalan data jemaah haji serta petugas, kemudian data itu akan dikemas kini oleh sistem berdasarkan input di sini, jadi bila tamat musim itu kita dapat satu set data baharu untuk dibawa ke pihak pengurusan dan pembuat keputusan,” katanya.

Contohnya dalam sistem Sihat, katanya, terdapat modul farmasi yang mana pengguna sistem terdiri daripada ahli farmasi dan doktor mengetahui jumlah ubat digunakan dan ubat tinggal selepas musim haji, maka keputusan akan dibuat untuk jumlah ubat perlu ditambah dan jumlah ubat boleh digunakan lagi untuk musim haji tahun depan.

– BERNAMA


Pengarang :