AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Dataran SUK destinasi ke-49 KMJG 2019

SHAH ALAM, 23 OGOS: Dataran SUK, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAS) menjadi destinasi ke-49 Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 yang disertai 133 peserta selepas menempuh perjalanan hampir 4,000 kilometer (km) mengelilingi Semenanjung Malaysia.

Ketua Konvoi, Aszahari Abd Rahman berkata, konvoi yang memasuki edisi ke-17 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia itu akan meneruskan perjalanan ke beberapa kawasan lain di Selangor termasuk negeri lain bagi menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan kemerdekaan ke-62.

“Antara lokasi yang akan ditujui hari ini adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tinggi, Klang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jenjarom, Kuala Langat.

“Untuk esok pula, kita akan bermula di pekarangan Pasar Raya Tesco Kajang dan Taman Permainan Apartment Puchong Permata 1, Persiaran Puchong Permai sebelum menuju ke Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang hari Isnin,” katanya pada Program Merdeka @ Komuniti & Pitstop Kembara Jalur Gemilang, di sini, pagi ini.

Terdahulu, pelepasan peserta konvoi terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Kelab Permotoran J17 itu disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han;EXCO Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu Dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari serta EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Pada majlis itu, Amirudin turut menandatangani buku KMJG dan menerima plak sebagai simbolik pelepasan peserta konvoi berkenaan.

Aszahari berkata, pergerakan peserta konvoi membabitkan penjelajahan di 11 negeri setakat ini berjalan lancar dan teratur seperti dijadualkan.

Katanya, peserta juga mempamerkan kesungguhan dengan membawa mesej semangat kemerdekaan dalam menamatkan misi jelajah sejauh 6,200km melibatkan 62 tempat perhentian.

“Di samping berhenti di tempat persinggahan, kita juga melaksanakan program berkaitan kemerdekaan seperti pameran, mewarna untuk kanak-kanak dan aktiviti gotong-royong bersama masyarakat.

“Kita berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas trafik yang mengawal lalu lintas perjalanan serta memudahkan perjalanan konvoi,” katanya.

Terdahulu, konvoi bermula sejak 3 Ogos lalu diiringi 62 kenderaan terdiri daripada 17 kenderaan pacuan empat roda termasuk 30 motosikal berkuasa tinggi daripada Kelab Permotoran J17 bersama 15 motosikal PDRM.

Konvoi turut disertai pelawak tanah air yang juga ikon Kelab Permotoran J17, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Lan Pet Pet.


Pengarang :