Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441H Selangor ketika Program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dato’ Setia Mohamad Adzib Isa Tokoh Maal Hijrah 1441H Selangor

SHAH ALAM, 31 OGOS: Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441 Peringkat Negeri Selangor.

Beliau yang kini berusia 71 tahun dipilih kerana jasa dan pengorbanan dalam mencurahkan bakti terhadap perkembangan Islam di Selangor melalui idea memperkemas, memperkasa dan mengukuhkan organisasi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Mohamad Adzib ketika ditemui media berkata, beliau menzahirkan rasa syukur kerana dipilih menerima anugerah berkenaan dan tekad untuk sentiasa berbakti memberi sumbangan kepada masyarakat di Selangor.

“Syukur kepada Allah kerana dengan izinnya saya dikurniakan tokoh Maal Hijrah 1441 dan merafak sembah terima kasih kepada Duli Yang Teramat Mulia Sultan Selangor diatas perkenan anugerah ini.

“Ucapan terima kasih juga kepada semua warga kerja di Selangor kerana sentiasa memberikan sokongan selama 45 tahun saya bertugas dalam jabatan Kerajaan,” katanya kepada media.

Pada masa sama, Mohamad Adzib yang pernah menjawat jawatan selaku Pengerusi MAIS berkata, anugerah diterimanya itu juga atas sokongan dan kerjasama diberikan Almarhum isterinya sebelum ini.

“Tanpa sokongan, kerjasama dan pengorbanan Almarhum isteri sudah tentu sukar untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang dipikul kini,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menerima wang tunai RM20,000 sumbangan Kerajaan Negeri, trofi Maal Hijrah, sijil penghargaan, set sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah.

Anugerah berkenaan disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sempena Majlis Ambang Hijrah dan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Pada masa sama, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Saudara Kita, Tokoh Aktivitis Masyarakat, Tokoh Keluarga Mithali, Anugerah Pertubuhan dan Dakwah Sukarela.

Anugerah Tokoh Saudara Kita diterima oleh Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Rosly Mohd Arus dan Tokoh Aktivis Masyarakat diberikan kepada Pakar Perunding dan Pensyarah Perubatan KPJ Damansara Specialist Hospital, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus.

Manakala, Anugerah Keluarga Mithali diterima Hakim Tilawah peringkat Daerah dan Negeri Selangor, Damanuri Rajali dan isteri Siti Hasnah Muhd Dasuki.

Anugerah Tokoh Mithali, Damanhuri@Damanuri Rajali, 78 dan isteri Siti Hasnah Mohd Dasuki, 65 menerima anugerah ketika Program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada 31 Ogos 2019. – Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Anugerah Pertubuhan dan Badan Dakwah Sukarela diterima Yayasan Pendidikan al-Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh).

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor 1441 Hijrah/2019 Masihi, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan beberapa pimpinan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah adalah anugerah tahunan kepada individu yang banyak menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara dalam pembabitan pelbagai aktiviti seperti sosial, ekonomi juga pendidikan yang memberi kesan kepada gerakan dan perkembangan Islam.

Bacaan doa akhir tahun sempena Program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada 31 Ogos 2019. – Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :