Pasukan penguatkuasa membuat kawalan keselamatan di lokasi kejadian tembakan yang meragut nyawa orang awam dekat El Paso, Texas. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Datuk bandar San Francisco gesa kawalan senjata api

SAN FRANCISCO, 5 OGOS : Datuk bandar San Francisco London Breed pada Ahad menggesa para pegawai kerajaan mengambil tindakan serius bagi mengawal jenayah berkaitan senjata api susulan dua insiden tembakan maut yang meragut 29 nyawa di negeri-negeri Texas dan Ohio, lapor agensi berita China Xinhua.

“Ketika kita berduka cita mengenang mangsa insiden tembakan rambang secara besar-besaran ini di seluruh negara, kita sedar ia adalah akibat kegagalan para pegawai yang dipilih untuk menggubal #GunControlNow. Ia tidak sepatutnya jadi begini,” kata Breed menerusi Twitter pada Ahad.

Datuk bandar San Francisco itu mengulas dua insiden tembakan rambang secara besar-besaran di El Paso, Texas yang meragut 20 nyawa semasa musim orang ramai berbelanja membeli barangan kembali ke sekolah, dan di Daerah Dayton, Oregon di Ohio yang menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang maut beberapa jam selepas pembunuhan di El Paso.

Kedua-dua insiden adalah jenayah berkaitan senjata api terkini yang berlaku kira-kira seminggu selepas seorang lelaki bersenjata menembak mati tiga orang, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan seorang remaja wanita berusia 13 tahun, di sebuah pesra bawang putih tahunan di bandar Gilroy, kira-kira 129 kilometer di selatan San Francisco, pada 28 Julai. -BERNAMA


Pengarang :