Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka akan menyentuh tiga perkara utama bagi membolehkan penguatkuasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
AGENDANASIONAL

DBP tidak setuju tukar nama Hari Sukan Negara kepada MYSC’19

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menukar nama program Hari Sukan Negara 2019 kepada Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19).

DBP dalam kenyataannya berkata, sekiranya program atau aktiviti diadakan di peringkat antarabangsa, DBP mencadangkan nama program dibuat secara dwibahasa iaitu dengan mendahulukan bahasa kebangsaaan dan diikuti dengan terjemahan.

“Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

“Bahasa rasmi yang dimaksudkan ialah bahasa yang digunakan dalam semua maksud rasmi meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan,” kata kenyataan itu.

DBP berkata, penjenamaan semula ini menunjukkan pihak KBS tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu termasuklah dalam program rasmi kerajaan.

“DBP menyarankan semua kementerian dan agensi kerajaan mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai identiti negara serta wahana komunikasi dan perpaduan dalam semua program peringkat jabatan, kebangsaan dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :