Ismail Yusop mengulas kebebasan bersuara dan tanggungjawab mempertahankan keharmonian ketika Sidang Meja Bulat Fiqh Ta’Ayush 2019 di Bilik Seminar IDE, hari ini. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Demokrasi matang lalui proses literasi politik

SHAH ALAM, 8 OGOS: Demokrasi matang dan subur terutama dalam kalangan rakyat memerlukan pemahaman melalui pendidikan atau proses literasi politik, kata Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE), Senator Ismail Yusop.

Beliau berkata, demokrasi matang tidak boleh berlaku secara spontan atau kebetulan, sebaliknya memerlukan proses terancang.

“Elemen ini penting bagi membentuk suasana demokrasi matang dan kebebasan bersuara diberikan sebagai kesempatan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan agenda sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan tajuk Kebebasan Bersuara dan Tanggungjawab Mempertahankan Keharmonian ketika Persidangan Meja Bulat Fiqh Ta’Ayush di Bilik Seminar IDE, di sini, hari ini.

Ismail berkata, perkara itu dapat dibuktikan melalui pengumuman tulisan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Statue Rome termasuk Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang mendapat tentangan pelbagai pihak.

“Masyarakat juga perlu didedahkan cara berfikir yang menepati hasrat maksud hidup kebersamaan atau Fiqh Ta’Ayush As Silmi.

“Fiqh Ta’Ayush As Silmi pula harus dikembangkan di tengah kemajmukan masyarakat Malaysia bagi menyuburkan perpaduan dan menghentikan kebencian antara kaum yang seharusnya tidak relevan dijadikan sebagai satu polemik,” katanya.

Terdahulu, pada persidangan itu turut diselitkan sesi pembentangan daripada beberapa panel dan antara tajuk dibincangkan adalah al-Ta’Ayush : Melihat dari Sudut Sirah; Peranan Universiti dalam Mempromosi Fiqh Ta’ayush dan Mengurus Kepelbagaian Kaum dan Agama dalam Majlis Belia Malaysia.


Pengarang :