Selangorkini
PENDAPAT RENCANA

Didik anak adab, hormat yang lebih tua

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Ramai yang marah dan geram apabila tersebarnya video di laman sosial sekumpulan anak muda membuli seorang warga emas pada Ramadan lalu.

Video tular itu menunjukkan warga emas yang dikatakan berusia 59 tahun dibuli apabila kopiahnya diambil selain motosikalnya dijatuhkan oleh sekumpulan remaja dalam kejadian dipercayai berlaku di Sijangkang, Selangor.

Seorang daripada remaja itu turut bertindak membaling cebisan kotak dan cuba meletakkan sesuatu di atas kepala mangsa.

Bukan sahaja mempersenda, mentertawa dan mengejek, kata-kata kesat turut dihamburkan gara-gara mangsa dikatakan cuba menegur perbuatan kumpulan remaja berkenaan yang melepak di bulan Ramadan, dan mengajak menunaikan solat Asar.

Melampau dan biadap!

Itu mungkin antara perkataan yang keluar dari mulut majoriti kita saat menonton video berkenaan.

Anak muda dalam usia belasan tahun yang sepatutnya menebal rasa hormat dan melayan orang yang lebih tua dengan baik, malangnya bersikap sebaliknya.

Sehubungan kejadian itu, penduduk setempat bertindak mencari dan berkumpul di rumah remaja berkenaan bagi menuntut ‘keadilan’.

Pada masa sama, laman sosial Instagram remaja itu juga teruk ‘diserang’ netizen yang berang dengan perbuatan mereka.

Setelah ‘diadili’ oleh orang kampung, kesemua remaja itu yang pada awalnya ‘berlagak hero’ akhirnya memohon maaf kepada warga emas berkenaan.

Mereka bernasib baik apabila mangsa tidak mahu memanjangkan cerita, tidak menyimpan dendam dan memaafkan atas alasan mengenali ibu bapa masing-masing.

Apabila berlaku perkara sebegini, siapa yang harus dipersalahkan?

Anak-anak mungkin malu sekejap kerana menerima kecaman netizen, tetapi ibu bapalah insan yang akan paling terkesan.

“Anak siapa”?

“Tak pandai jaga anak”!

“Mak bapak tak ajar”!

Kata-kata itu biasanya menjadi tohmahan orang ramai yang menghakimi ibu bapa atas perbuatan anak-anak mereka.

Kasihan si ibu dan bapa. Tak semena-mena menerima tempias akibat perbuatan buruk anak mereka.

Penat membanting tulang mencari rezeki menghantar anak ke sekolah dan diberi pendidikan sewajarnya agar menjadi orang baik-baik, alih-alih begitu pula perilaku si anak.

Anak yang diharap dapat membanggakan sebaliknya ‘menconteng arang’ ke muka ibu bapa atas tindakan tidak rasional yang sepatutnya boleh dikawal dengan fikiran yang waras.

Ada juga segelintir anak-anak yang apabila di depan ibu bapa ‘pijak semut pun tak mati’ tetapi apabila di belakang, dialah ‘hero’.

Dalam hal ini, saya percaya didikan awal ibu bapa di rumah adalah yang paling utama. Bukankah ibu bapa guru pertama anak-anak?

Ibarat kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tidak hanya membiar dan memberi kebebasan 100 peratus terhadap apa sahaja yang ingin dilakukan mereka. Kenali diri dan jiwa anak-anak.

Ramai pakar motivasi yang berpendapat anak-anak harus dilayan sebagai kawan tetapi pada masa sama perlu tahu batas mereka.

Pendekatan sebegitu akan menjadikan anak-anak rapat dan selesa berkongsi banyak perkara dengan ibu bapa.

Anak-anak perlu dididik dengan nilai kehidupan yang sebenar.

Hari ini ramai ibu bapa yang berlumba-lumba mahu melahirkan cerdik pandai dalam bidang akademik dan pakar bidang tertentu tetapi sayang, lupa menerapkan nilai murni hidup bermasyarakat yang seharusnya menjadi panduan setiap daripada kita.

Sijil, pencapaian dan pangkat diagung-agungkan sedangkan hakikatnya adab dan budaya hilang entah ke mana.

Amalan hormat-menghormati, saling membantu, tahu batas pergaulan dengan yang lebih tua, adab bercakap, sopan santun bukan lagi perkara utama.

Jika berkunjung ke rumah saudara mara pada hari ini, bukan yang muda menghulur tangan untuk bersalam sebaliknya yang tua pula rasa bersalah jika tidak bersalaman.

Ia mungkin nampak remeh, tetapi perkara sebegitulah yang akan membawa kepada perkara berikutnya yang lebih besar dalam adat dan budaya kita.

Apabila ibu bapa mengabaikan perkara sebegini dalam sesebuah institusi keluarga, tidak mustahil anak-anak juga akan terikut-ikut dengan apa yang mereka lihat.

Ketika berkunjung ke rumah saudara-mara contohnya pada musim perayaan Aidiladha baru-baru ini, ibu bapa wajar mengambil peluang untuk menitipkan pesanan kepada anak-anak agar sentiasa menghormati golongan yang lebih tua.

Mungkin sebelum keluar dari kereta boleh diingatkan kepada mereka agar bersalaman dengan datuk, nenek, pak cik, mak cik dan seumpamanya.

Ingatkan juga, agar mereka mengucapkan terima kasih sekiranya diberi ‘ang pau’. Penting, tidak membuka sampul (duit raya) itu di depan orang yang memberikannya.

Jangan ‘lepas laku’ di rumah orang. Hendaklah sentiasa sopan sama ada ketika duduk mahupun sewaktu dihidangkan makanan.

Berapa ramaikah antara kita yang sentiasa mengingatkan anak-anak tentang kesemua perkara itu?

Terdapat segelintir ibu bapa yang hanya senyum dan membiarkan anak mereka ‘membuas’ di rumah orang, panjat sana sini sehingga menimbulkan rasa kurang senang tuan rumah.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan Pendidikan Sivik peringkat kebangsaan 2019 baru-baru ini berharap Pendidikan Sivik yang mula dilaksanakan di sekolah sejak Jun lepas akan membentuk masyarakat dan individu yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa kepada pihak lain.

Dalam hidup bermasyarakat, kata beliau, sifat-sifat itu amat penting bagi memastikan setiap individu tidak melakukan sesuatu yang memburukkan keadaan di sekeliling mereka.

“Saya percaya bukan sahaja anak-anak kita akan menjadi orang yang civic minded, tetapi guru-guru semasa mereka mendidik, tentulah akan sematkan nilai-nilai sivik yang sama.

“Dengan itu, percayalah negara kita akan menjadi negara yang maju, bersih dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia,” kata Dr Mahathir.

Pendidikan Sivik dilaksanakan selama satu jam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah selain turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kokurikulum.

Dr Mahathir juga berkata tugas mendidik nilai sivik perlu diterapkan dalam sistem pendidikan negara memandangkan tanggungjawab itu tidak lagi boleh diletakkan kepada ibu bapa semata-mata.

“Sekarang ini ibu bapa berkerja dan tidak ada masa untuk ajar anak berkenaan sivik, tanggungjawab, nilai hidup dan sebagainya, maka kita perlu pindahkan usaha mendidik ini kepada sistem pendidikan,” katanya.

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis)


Pengarang :