AGENDANASIONAL

Dua muka baharu terajui PNB, Sime Darby

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Langkah Permodalan Nasional Bhd (PNB) melantik pemimpin baharu ke dalam pengurusan tertingginya bakal meningkatkan lagi imejnya dan sekali gus mengukuhkan Sime Darby Bhd yang merupakan satu daripada entiti strategik utamanya, kata penganalisis.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, pelantikan Jalil Rasheed sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif baharu PNB dijangka membawa transformasi, kerana beliau memahami cabaran dalam pengurusan ekuiti dan aset.

“Berdasarkan latar belakangnya yang lama dalam Aberdeen Islamic Asset Management dan Invesco, saya percaya beliau tokoh terbaik untuk mengisi jawatan itu, berikutan pasaran kini berdepan pelbagai cabaran. Saya pasti Jalil mampu menerajui transformasi kerana beliau cukup dikenali dalam industri,” katanya.

Jalil akan memegang jawatan itu berkuat kuasa 1 Oktober.

Sementara itu, langkah PNB untuk melantik tokoh konglomerat veteran, Datuk Abdul Rahman Ahmad sebagai pengerusi baharu Sime Darby Bhd, dilihat sebagai pendekatan baharu untuk membuka nilai syarikat strategik utamanya.

Ketua Pegawai Pelaburan/Pegawai Penyelidik Leinves PLT, William Ng berkata, pengalaman Abdul Rahman akan meletakkan kumpulan pada tapak lebih kukuh selepas pengasingan yang berlaku pada 2017.

“Beliau seorang pemimpin perniagaan berpengalaman luas, setelah menerajui beberapa syarikat besar sebelum ini, termasuk Ekuiti Nasional Bhd. Kami percaya pelantikan beliau akan membawa Sime Darby ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Abdul Rahman akan memegang jawatan itu berkuat kuasa 31 Oktober. Beliau sebelum ini ialah presiden dan ketua pegawai eksekutif PNB.

– BERNAMA


Pengarang :