Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Duda anak satu dijel tiga hari tunggang motosikal cara bahaya

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Seorang duda anak satu dipenjara tiga hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Trafik di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya, Ahad lepas.

Majistret Puteri Nursheila Rahim memerintahkan Muhammad Sukri Mubin, 28, menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan akan dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda serta lesen memandunya digantung dua tahun.

Dia didakwa menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya sambil melakukan aksi menundukkan kepala yang mana perbuatan tersebut adalah bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan lain di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di sini, pada pukul 3.11 pagi, 11 Mei lepas.

Juruteknik itu didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.

Ketika rayuan, Muhammad Sukri yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa dia adalah penanggung utama keluarga.

“Saya rayu hukuman penjara yang singkat dan denda kurang, saya ada anak yang perlu diberi nafkah. Saya juga menanggung keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdullah Khazali memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

– BERNAMA


Pengarang :