Sebahagian daripada staf Utusan Melayu yang berpiket di Ibu Pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur pada 19 Ogos 2019.
AGENDANASIONAL

Edisi cetak Utusan, Kosmo! mungkin dihentikan

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berdepan risiko penutupan operasi dua akhbarnya jika gagal menjual aset dalam tempoh beberapa minggu ini.

Menurut portal Sinar Harian, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia berkata, pengurusan tertinggi syarikat itu memaklumkan kemungkinan Utusan Malaysia dan Kosmo! diberhentikan.

“Pagi tadi kami (NUJ) bertemu dengan Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir di Jabatan Perusahaan, Kementerian Sumber Manusia, menurutnya mereka akan menutup operasi Utusan, kerana tidak mahu lagi menanggung beban.

“Mereka (pengurusan) buat keputusan, Utusan memang tak ada duit untuk bayar gaji, gaji tertunggak dan gaji masa depan. Mereka tiada wang dan gagal lupuskan aset Utusan yang ada,” kata Mohd Taufek Razak kepada media selepas mengadakan piket di pekarangan Ibu Pejabat Utusan Melayu di sini, hari ini.

Mohd Taufek, yang juga Pengerusi NUJ Cawangan Utusan Melayu, turut memberitahu, aset Utusan tidak boleh dijual kerana kebanyakan bangunannya tidak ada Sijil Layak Menduduki (CF).

Beliau berkata, buat masa ini tiada sebarang bantuan daripada pimpinan UMNO yang selama ini berpayung dan mencipta nama dengan menggunakan medium Utusan sebagai alat propaganda politik.

“Kalau tak nak bantu, juallah saham, supaya kami boleh hidup, Utusan boleh hidup dan kami boleh terus bekerja,” kata Taufek seperti dilaporkan.

Kakitangan Utusan Melayu membawa pelbagai plakad menuntut bayaran gaji tertunggak yang gagal dibayar oleh syarikat sejak Julai lalu dalam piket yang berlangsung selama kira-kira sejam bermula 1 tengah hari.

Sementara itu, SelangorKini difahamkan oleh beberapa kakitangan Utusan Melayu bahawa pihak pengurusan membuat keputusan untuk menghentikan operasi akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! pada Rabu ini.

 


Pengarang :