Polis Thailand melakukan kawalan ketat susulan insiden letupan di Bangkok. Foto : AFP
AGENDAGLOBAL

Empat cedera letupan kecil di Bangkok

BANGKOK, 3 OGOS: Polis Thailand mengesan sembilan bom, termasuk yang sudah meletup, di lima lokasi, dalam insiden letupan kecil di kota Bangkok semalam, yang menyaksikan sekurang-kurangnya empat orang tercedera.

Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan o-cha yang mengutuk dalang di sebalik letupan itu mengarahkan supaya siasatan segera dijalankan, di samping meminta orang ramai supaya tidak panik.

“Polis masih belum mengenal pasti motif insiden. Kita masih tidak dapat mengesahkan jika semua insiden itu mempuinyai kaitan. Ia mungkin dilakukan oleh seorang atau satu kumpulan, pihak berkuasa masih menyiasat,” katanya dalam persidangan media di sini, semalam.

Beliau turut mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk meningkatkan pemeriksaan keselamatan dan rondaan di lokasi utama di tengah ibu kota.

Insiden itu menyaksikan beberapa letupan kecil dilaporkan berlaku di tengah kota Bangkok, di tengah kesibukan pada waktu pagi.

Bangkok ketika ini menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-52 dan Pasca Persidangan Menteri dan Mesyuarat Berkaitan (AMM/PMC ke-52), namun tidak ada antara letupan itu berlaku berdekatan venue mesyuarat.

Satu letupan dilaporkan berlaku di stesen Chong Nonsi BTS Skytrain semasa waktu sibuk di sebelah pagi yang menyaksikan dua orang cedera, manakala satu lagi letupan di Rama Road IX di tengah Bangkok mencederakan dua petugas pembersihan jalan.

Satu lagi letupan berlaku dekat dengan Kompleks Kerajaan di Jalan Chaeng Wattana di Daerahs Lak Si, utara Bangkok, dan beberapa minit kemudian satu lagi letupan dilaporkan di kawasan taman berhampiran Kompleks yang sama.

Sementara itu, polis turut menemui kotak yang tidak dikenali di bawah sebuah eskalator di stesen Sala Daeng BTS Skytrain, namun ia disahkan tidak berbahaya, lebih berupa amaran palsu.

Kelmarin, polis Thailand turut menemui dua bom palsu di ibu pejabat polis, yang terletak berhampiran dengan tempat berlangsungnya mesyuarat keselamatan serantau itu, mencetuskan kebimbangan buat seketika.

Bagaimanapun, polis sudah menahan dua lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan bom palsu itu.

Polis turut menyiasat sama ada letupan semalam mempunyai kaitan dengan insiden kelmarin.

-BERNAMA


Pengarang :