Loy Sian (kiri) dan Sze Han (dua kiri) meninjau kerja operasi pemadaman api di tapak pelupusan sampah haram yang terbakar, bersebelahan plaza tol Sungai Long. Foto ASRI SAPFIE/SelangorKini
EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Enakmen baharu isu sampah haram dilaksana tahun depan

KAJANG, 1 OGOS: Enakmen baharu bagi membolehkan hukuman lebih berat kepada individu atau pihak yang membuang sampah secara haram dijangka dilaksanakan tahun hadapan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, enakmen berkenaan juga diwujudkan bagi memastikan pihak industri menggunakan kontraktor yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau kontraktor dari PBT itu sendiri.

“Daripada siasatan yang dijalankan, hampir semua tapak pelupusan sampah haram datang dari industri membabitkan sampah industri binaan, hotel dan pusat membeli-belah.

“Ini kerana kontraktor yang dilantik oleh pihak berkenaan tidak mematuhi syarat dan tidak mengetahui ke mana sampah itu dibuang.

“Justeru, Kerajaan Negeri bertegas bagi mengelakkan perkara ini daripada terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kerja operasi pemadaman api di tapak pelupusan sampah haram yang terbakar sejak Selasa lalu, bersebelahan plaza tol Sungai Long.

Sze Han berkata, tanpa enakmen baharu itu, Kerajaan Negeri sukar menangani situasi pembuangan sampah haram yang semakin berleluasa ketika ini.

“Apabila berlakunya kebakaran, ia juga menyukarkan pihak bomba sedangkan tugas mereka ini tidak hanya tertumpu kepada kebakaran seperti ini sahaja.

“Perkara seperti ini sangat serius. Kerajaan Negeri sangat komited dalam menangani isu seperti ini, kita mahu ia ditangani dengan segera,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Alam Sekitar Selangor turut memaklumkan akan menubuhkan jawatankuasa khas dalam masa terdekat bagi membanteras kewujudan tapak pelupusan sampah haram.


Pengarang :