Amirudin Shari (tengah) beramah mesra bersama tetamu yang hadir ketika Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada 12 Ogos 2019. – Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor akan dibincang lebih terperinci – Amirudin

SHAH ALAM, 12 OGOS: Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) akan dibincangkan secara lebih terperinci terutama berkaitan penafsiran membabitkan Perlembagaan Persekutuan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau akan membuat rundingan semula dengan kesemua parti termasuk barisan kepimpinanan Selangor dan di peringkat Persekutuan.

Katanya, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga sedang meneliti semula enakmen terbabit.

Amirudin Shari (depan dua, kanan) turut serta Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Abd Wahid (depan dua, kiri) bersama kakitangan MBI melaungkan takbir raya ketika Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada 12 Ogos 2019. – Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya harus merujuk kembali dengan DYMM Sultan berkenaan perkara ini selepas rundingan dengan semua parti dan pimpinan di Selangor serta Persekutuan diadakan.

“Memang kelaziman DYMM Sultan akan mengkaji semula dan melihat daripada segenap aspek dan mendengar segala pandangan dari semua pihak kerana itu yang dipraktikkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan enakmen untuk kebenaran menukar agama sebelah pihak sama ibu atau bapa dalam Perlembagaan, Amirudin berkata, ia adalah perdebatan perundangan dan kerangka itu perlu dilihat secara keseluruhan.

“Kita akan melihat beberapa pandangan dan kerangka itu secara keseluruhan kerana ia bukan hanya soal ibu bapa namun semangat yang ada dalam Perlembagaan dan niat terhadap pindaan itu.

“Bagi saya ada baiknya perkara itu tidak dibawa dahulu dalam persidangan dan beri ruang untuk ia dibincang secara lebih terperinci, kita akan tuntaskan dengan DYMM Tuanku nanti,” katanya.

Pada masa sama, katanya, beliau akan berjumpa semula dengan empat EXCO Kerajaan Negeri yang menghadap DYMM Sultan pada Khamis lalu.

“Saya akan berjumpa dengan keempat-empat EXCO ini bagi mendapatkan penjelasan memandangkan saya tidak terlibat ketika sesi menghadap lalu,” katanya.

Terdahulu, wujud kekecohan segelintir pihak berkenaan pindaan enakmen yang merujuk kepada kebenaran penukaran agama Islam untuk secara sebelah pihak di Dewan Negeri Selangor.

Namun, cadangan pindaan enakmen berkaitan penukaran agama anak di bawah umur itu akan dibawa semula ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang jika dilihat ada kepentingan.


Pengarang :