BERITA UTAMA

Enggan selesa, Selangor mahu bersaing di rantau Asia

SHAH ALAM, 28 OGOS: Selangor enggan selesa dengan status ‘Negeri Emas’ dalam konteks pelaburan di Malaysia, sebaliknya mahu bersaing dengan bandar besar di rantau Asia, seiring sasaran menjadi Negeri Pintar 2025.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pentadbiran negeri kini sedang memperkemas hala tuju bagi mencapai sasaran itu, di samping mengekalkan kedudukan selaku penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, usaha membangunkan bandar pintar seperti di Jakarta, Surabaya, Singapura dan Manila kini perlu dilihat secara positif, malahan Selangor harus memandang skop persaingan peringkat serantau.

“Tahun lalu kita (Selangor) dapat menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 22.7% KDNK pada 2017 kepada 23.7%, pada 2018.

“Saya lihat inilah persaingan masa hadapan yang perlu dihadapi dan Selangor mengambil cabaran itu untuk bersaing di peringkat serantau bersekali membawa nama indah Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara rancangan Agenda Awani: Lonjakan Kemakmuran Ekonomi Selangor yang disiarkan Astro Awani, malam tadi.

Katanya, penubuhan Smart Selangor Delivery Unit, SMARTSEL dan Selangor Information Technology and E-Commerce Council adalah jentera utama Selangor ke arah pembentukan Negeri Pintar 2025.

Amirudin berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, aspek infrastruktur dan kestabilan masyrakat perlu dipertingkatkan supaya Selangor mampu meneroka peluang industri lain, pada masa hadapan.


Pengarang :