BERITA UTAMA

ESSCOM akan disusun semula

KLANG, 1 OGOS : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan disusun semula demi mempertingkatkan keselamatan di pantai timur negeri ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan berbincang secara lebih terperinci dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung isu itu supaya ia dapat diselesaikan secara lebih baik.

Katanya, usaha sama ada untuk memperoleh peralatan tambahan atau tidak akan dikaji namun pengambilan pasukan dan peralatan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kementerian Pertahanan dan MKN akan berbincang dan menyusun semula tugas keselamatan di ESSCOM.

“Kita akan menyusun semula dan sebenarnya keselamatan di Pantai Timur Sabah terkawal dan menyaksikan insiden penculikan untuk wang sudah berkurangan cuma sekarang ini disebarkan secara meluas.

“Malah, faktor kekurangan itu juga disebabkan tindakan dari tiga negara bersama iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina bekerjasama untuk membanteras sebarang bentuk penculikan dan pengganas di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Mesra Rakyat dan Pelancaran Program Sayangi Klinikku peringkat Parlimen Kota Raja, di Klinik Kesihatan Bukit Naga, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, sekiranya berlaku pencerobohan pihaknya akan cuba menangani sebaiknya.

Mengulas kerajaan dahulu mahu menjadikan pelantar minyak di tepi laut sebagai pengkalan hadapi serangan, Mohamad berkata, pihaknya akan melihat kesesuaian dan keadaan semasa.

Terdahulu, memetik laporan Berita Harian, kes penculikan di Sabah semakin berleluasa dan dipercayai kumpulan penculik didalangi Abu Sayyaf memiliki ‘mata dan telinga’ dalam kalangan rakyat tempatan.

Katanya, ia bagi melakukan kegiatan penculikan untuk wang tebusan terutama dalam mendapatkan maklumat pergerakan nelayan dan operasi pasukan keselamatan.


Pengarang :