Paul Yong Choo Kiong keluar dari mahkamah selepas pendakwaan terhadapnya atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

EXCO Perak bercuti, beri tumpuan perbicaraan kes rogol

IPOH, 25 OGOS: Paul Yong Choo Kiong mengambil keputusan untuk bercuti daripada tugasnya sebagai EXCO Kerajaan Perak untuk memberi tumpuan kepada perbicaraan kes rogol yang dihadapinya.

Yong, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau menimbangkan dengan teliti untuk membersihkan namanya daripada pertuduhan terbabit.

Buat sementara waktu, katanya, beliau akan terus berkhidmat kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri Tronoh yang diwakilinya seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Saya turut merasakan bahawa saya perlu mengutamakan kepentingan negeri mengatasi kepentingan peribadi, seperti yang saya sentiasa lakukan dalam kerjaya sebagai ahli politik.

“Saya juga akan maklumkan keputusan saya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Yong turut memaklumkan sudah mengarahkan peguamnya supaya memohon kepada mahkamah untuk menetapkan tarikh perbicaraan seawal yang boleh.

Terdahulu, Yong, 49, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol bekas pembantu rumahnya berusia 23 tahun, pada 7 Julai di rumahnya di Meru, di sini.

-BERNAMA


Pengarang :