Selangorkini
Rodziah berucap pada Majlis Penutup Seminar Menuju Negara Rahmah di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, di sini. Foto REMY ARIFIN/SelangorKini
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

EXCO puji inisiatif MAWAR anjur Seminar Menuju Negara Rahmah

SHAH ALAM, 6 OGOS: Insiatif Biro Latihan dan Pendidikan, Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) menganjurkan Seminar Menuju Negara Rahmah yang julung kali diadakan di Selangor, dipuji EXCO Kerajaan Negeri.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, seminar itu menjelaskan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin, Maqasid Syariah dan Negara Rahmah.

Katanya, ia secara tidak langsung memberikan kefahaman kepada peserta, sekali gus mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

“Saya berharap MAWAR akan terus melaksanakan program atau seminar sebegini dan semoga selepas ini lebih tertumpu di kawasan pedalaman Selangor.

“Pada masa sama, saya berharap peserta dapat menghayati maksudnya dan menjadikan panduan dalam meniti kehidupan harian,” katanya pada Majlis Penutup Seminar Menuju Negara Rahmah di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), di sini hari ini.

Terdahulu, lebih 200 peserta dari Pusat Wanita Berdaya dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung sekitar Selangor menyertai seminar terbabit.

Ia turut dihadiri EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Antara tajuk yang dibentangkan adalah “Konsep Rahmatan Lil ‘Alamin dan Maqasid Syariah Menuju Negara Rahmah”; sesi kedua (“Kesolehan Sosial : Nilai Rahmah dalam Baldatun Toyyibah Was Rabbun Ghafur”) serta forum berkaitan Peranan Wanita Dalam Menerapkan Nilai Rahmah.

Seminar itu adalah anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, PPAS dan MAWAR.


Pengarang :