EXCOSELANGOR

EXCO saran bangunan kerajaan sedia bilik laktasi

SHAH ALAM, 4 OGOS : EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menyarankan supaya setiap bangunan Kerajaan Negeri menyediakan bilik laktasi sekali gus menyokong Kempen Penyusuan Susu Ibu.

Katanya, Kerajaan Selangor turut berbangga apabila Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) turut menyediakan kemudahan bilik laktasi di foyer SUK serta ‘mobile lactation room’ di mana kemudahan itu boleh di bawa ke mana-mana.

“Saya juga sangat berharap agar usaha menyokong penyusuan susu ibu ini akan menjadi permulaan yang baik kepada amalan pemakanan sihat dalam sesebuah keluarga.

“Ini kerana sudah pastilah ibu yang menyusu sendiri bayi mereka hanya akan mengambil makanan yang sihat untuk dirinya dan menyediakan makanan yang sihat dan seimbang untuk seluruh ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival 3W (Kesihatan, Kebajikan dan Wanita) peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam, di Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim dan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Karnival 3W yang memasuki siri kelapan kali ini juga dianjurkan bersempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang disambut pada 1 hingga 7 Ogos setiap tahun.

Siti Mariah berkata, sambutan ini memanifestasikan komitmen Kerajaan Negeri terhadap usaha mempromosi, melindungi dan menyokong sebarang bentuk usaha penyusuan susu ibu di Selangor.

Katanya, melalui komitmen sedemikian anak-anak dapat dilindungi daripada penyakit semasa bayi dan mengurangkan isu masalah gizi di kalangan kanak-kanak, seterusnya mengurangkan risiko penyakit semasa dewasa.

“Kajian mendapati di antara faktor ibu-ibu tidak menyusu bayi mereka adalah kerana kurangnya kefahaman mengenai kepentingan memberi susu ibu, terlalu sibuk dengan komitmen kerjaya dan tidak mendapat sokongan pasangan.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang menjalankan usaha memberi kesedaran dan menyokong penyusuan susu ibu,” katanya.


Pengarang :