AGENSISELANGOR

FAMA Selangor mahu majukan tanah wakaf

KLANG, 26 OGOS: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor sedia berbincang dengan Kerajaan Negeri dan institusi agama berkaitan usaha membangunkan tanah wakaf terbiar di negeri itu menjadi kawasan penanaman buah-buahan tempatan.

Pengarah FAMA Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin berkata, ini kerana usaha memanfaatkan tanah wakaf dengan cara berkenaan dilihat bertepatan dengan hasrat lembaga itu untuk mempertingkatkan lagi jumlah pengeluaran buah-buahan tempatan pada masa depan.

“Setakat ini kita belum lagi berbincang (dengan pihak terlibat), cuma hasrat kita adalah untuk mengusahakan tanah-tanah wakaf (terbiar) ini dengan menanam pokok buah-buahan tempatan.

“Sebelum ini, kita memang ada berbincang dengan pihak Exco Kerajaan Selangor mengenai lokasi yang boleh dimajukan seperti di Sabak Bernam dan Kuala Selangor. Jadi, sekiranya ada tanah wakaf yang sesuai diusahakan, bolehlah ia dicadangkan kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan Peringkat Negeri Selangor 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, di sini hari ini.

Turut hadir pada program berkenaan adalah Pengarah Kanan Galakan Pasaran Dalam Negara dan Pemasaran Online FAMA, Mohamad Mustahapa Awang dan Guru Besar SK Johan Setia, Norazmi Ibrahim.

Semalam, FAMA dilapor merancang untuk membangunkan tanah wakaf terbiar khususnya di pinggir bandar dan kawasan terpencil yang terdapat di seluruh negara dengan penanaman durian.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program berkenaan, Abdul Ghariff berkata, ia merupakan usaha pihaknya untuk mendidik pelajar bermula dari sekolah rendah supaya gemar makan buah-buahan dan sayuran seterusnya mengamalkan pemakanan sihat.

“Kita menjangkakan dengan adanya kempen sebegini akan meningkatkan lagi permintaan terhadap buah-buahan tempatan. FAMA juga berharap ia dapat mewujudkan kanak-kanak dan pelajar yang sihat pada masa akan datang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :