Dato’Menteri Besar, Amirudin Shari menurunkan tandatangan ketika merasmikan  Majlis Pecah Tanah Kampung Resort ‘FELDA Bukit Cherakah D’ Village
AGENDANASIONAL

FELDA Bukit Cherakah D’Village penuhi keperluan pelancong kurang mampu

KAPAR, 3 OGOS: Pembinaan Kampung Resort ‘FELDA Bukit Cherakah D’ Village’ dijangka mampu menarik kehadiran pelancong dari kalangan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini kerana industri pelancongan tempatan kekurangan kemudahan penginapan kadar sederhana dan murah seperti chalet, motel, rumah tetamu dan hotel sederhana untuk memenuhi keperluan pelancong yang kurang kemampuan.

Katanya, pembinaan resort berkonsepkan kampung itu juga selari dengan usaha kerajaan meningkatkan industri pelancongan tempatan bagi mengurangkan pengaliran wang negara ke luar.

“Jika kita lihat trend pada masa kini, pelancong dalam mahu pun luar negara lebih gemar mencari tempat penginapan yang berkonsepkan ala kampung.

“Penyediaan penginapan jenis sederhana dan murah juga akan secara langsung dapat membantu usaha kerajaan meningkatkan pelancongan tempatan atau ‘domestic tourism’.

“Ramai rakyat Malaysia melancong dalam negara dengan hanya berupaya membayar kadar sewa di penginapan sederhana dan murah,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengorek tanah menggunakan jengkaut simbolik merasmikan  Majlis Pecah Tanah Kampung Resort ‘FELDA Bukit Cherakah D’ Village’.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kampung Resort ‘FELDA Bukit Cherakah D’ Village’ yang berlangsung di Dataran Koperasi FELDA Bukit Cherakah Selangor Berhad, Kampung FELDA Bukit Cherakah, hari ini.

Difahamkan, sebanyak 32 unit chalet bakal dibangunkan di Kampung Resort itu.

Jelasnya, pembangunan Kampung Resort itu juga dapat memperkenalkan perkampungan terbabit kepada pelancong di samping meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat seperti memberi peluang pekerjaan, peluang perniagaan kepada peniaga tempatan serta dapat menyumbang kepada sektor pelancongan negara.

Menurutnya, langkah itu juga sebahagian usaha meningkatkan rasa cinta terhadap negara dalam kalangan rakyat di samping kemudahan-kemudahan pelancongan yang terdapat di negara sendiri bertambah baik.


Pengarang :