AGENDANASIONAL

FGV perkenal pelan tindakan perladangan bersepadu tahun ini

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: FGV Holdings Bhd akan memperkenalkan pelan tindakan perladangan bersepadu pada tahun ini sebagai sebahagian daripada strategi syarikat perladangan itu untuk memastikan penggunaan tanah yang lebih produktif, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan.

Beliau berkata, syarikat mahu melihat peluang lain untuk meningkatkan pulangan dalam sektor pertanian negara dan membantu pekebun kecil.

“Kami mahu melibatkan mereka dalam pelan tindakan ini. Ia seperti perladangan kontrak,” katanya kepada pemberita pada taklimat media mengenai prestasi kewangan suku kedua dan separuh pertama di sini, hari ini.

Haris berkata, daripada lapan juta hektar untuk pertanian, sebanyak 5.85 juta hektar digunakan untuk ladang kelapa sawit.

Ini menjadikan tanah yang sedikit untuk tanaman lain dan Malaysia masih mengimport banyak makanan.

“Oleh itu, terdapat usaha oleh kerajaan untuk syarikat-syarikat besar yang pada dasarnya membantu mengurangkan pengimportan makanan kita, dan FGV, antara syarikat perladangan terbesar di Malaysia, juga perlu memainkan peranannya,” katanya, sambil menambah tanah yang tidak menjana sebarang nilai untuk tempoh tiga tahun akan digunakan untuk menanam buah-buahan — misalnya, nanas, pisang dan tembikai.

Sementara itu, pada taklimat tersebut, Haris berkata, tandan buah segar (FFB) dan hasil, masing-masing meningkat 15 peratus dan 19 peratus, disebabkan pengurusan perladangan dan cara kerja yang lebih baik, selesainya pemulihan ladang dan kaedah pemindahan tanaman yang lebih baik.

Terdapat juga peningkatan dalam purata kos selain kilang minyak sawit mentah sebanyak 23 peratus, berikutan pengeluaran FFB dan jumlah yang diproses lebih tinggi serta faktor penggunaan kilang yang lebih baik sebanyak 77 peratus.

Beliau turut menggesa penggiat industri menyebarkan pemahaman yang lebih baik mengenai industri di Kesatuan Eropah (EU) untuk menghentikan diskriminasi terhadap minyak sawit.

“Kita perlu menjemput anggota EU untuk datang ke Malaysia dan melihat bagaimana minyak sawit dihasilkan. Menjadi anggota Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari, FGV sentiasa memastikan MSM di sini dihasilkan secara lestari,” katanya.

Katanya setakat ini, kumpulan telah menandatangani perjanjian untuk menjual dua perniagaan bukan teras bernilai RM129 juta daripada 10 perniagaan sedemikian, bernilai RM350 juta.

– BERNAMA


Pengarang :