PBTSELANGOR

‘Fitgen Plus Merdeka Walk With Unity’ MPK tawar RM5,500

KLANG, 24 OGOS: Majlis Perbandaran Klang akan mengadakan Program ‘Fitgen Plus Merdeka Walk With Unity’ (10,000 Steps Fitgen Merdeka Walk) sempena Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini yang menawarkan hadiah keseluruhan RM5,500.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, program berkenaan membabitkan aktiviti sukan berjalan kaki dengan anggaran jarak perjalanan empat kilometer melalui Jambatan Kota (melalui Klang Heritage Walk).

Katanya, aktiviti itu dijalankan di Pengkalan Batu dan turut diadakan secara serentak dengan ‘Merdeka Walk With Unity 2.0’ yang dianjurkan Kelab Warisan Sungai Klang.

“Peserta yang mengambil bahagian dalam aktiviti 10,000 Steps Fitgen Merdeka Walk boleh bergerak secara berkumpulan atau perseorangan dengan memakai perhiasan pada baju atau badan dengan tema kemerdekaan seterusnya menyokong ‘Kempen Klang Semarak Jiwa Merdeka’.

“Kita menjangkakan aktiviti ini akan mendapat sambutan luar biasa memandangkan tema dan konsep yang dijalankan begitu unik dalam usaha MPK menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan warga Klang,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Norfiza berkata, orang ramai khususnya penduduk Klang yang berminat boleh mendaftar di Merdeka Walk 2.0 (Facebook) atau pada pagi 31 Ogos 2019 bagi mengelak sebarang masalah memandangkan penyertaan juga diterima daripada peserta luar daerah terbabit.

Katanya, acara 10,000 Steps Fitgen itu turut menawarkan hadiah keseluruhan RM1,200 bagi kategori individu.


Pengarang :