AGENDANASIONAL

Food Bank: Akta khas lindungi penaja, penderma bakal dibentang

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Cadangan mewujudkan akta khas bagi melindungi penaja dan penderma program Food Bank Malaysia akan dibentangkan di Dewan Rakyat, hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Rang Undang-Undang (RUU) baharu itu kini memasuki fasa akhir dan sedang diteliti pejabat Peguam Negara sebelum dibincangkan di Kabinet.

Katanya, terdapat beberapa aspek yang perlu diperkemaskan sebelum perkara berkenaan diberi kata putus.

“Kita perlu mengawal dan melindungi mana-mana pihak yang mengambil bahagian dalam program Food Bank Malaysia kerana jika ada kecacatan, iaitu mungkin penerima mahu mengambil tindakan undang-undang, kita sudah bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ‘Market Review on Food Sector Under The Competition Act 2010’, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.

Mac lalu, Kementerian Kewangan meluluskan dana RM3 juta bagi program Food Bank Malaysia untuk menyediakan 14 lori dilengkapi pendingin hawa.

Program yang dikendalikan sepenuhnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mengedarkan makanan kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) termasuk mahasiswa di universiti awam.


Pengarang :