Selangorkini
Keadaan terminal lapangan terbang KLIA yang sesak akibat mengalami gangguan sistem pada 22 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Gangguan sistem: Kaunter informasi KLIA jadi tumpuan

SEPANG, 22 OGOS: Kaunter informasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi tumpuan hari ini dan dihujani dengan pelbagai pertanyaan berikutan gangguan sistem yang melanda lapangan terbang itu.

Keadaan tenang di terminal utama KLIA pada waktu pagi bagaimanapun berubah sibuk menjelang pukul 12 tengah hari berikutan jumlah penumpang ke lapangan terbang itu semakin bertambah.

Tinjauan Bernama mendapati walaupun bertali-arus didatangi penumpang dari pelbagai latar belakang, Ambassador CARE Airport atau Duta CARE, tenang dan sentiasa melemparkan senyuman melayani pertanyaan demi pertanyaan.

Pengurus Khidmat Pelanggan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, Rosmawati Mohamad Saufi berkata, keadaan masih terkawal dan bilangan duta CARE yang bertugas juga ditambah berbanding biasa.

“Kami menempatkan tenaga kerja di tempat penting untuk membantu penumpang-penumpang dan petugas tambahan pun sudah ditambah sejak pukul 3 pagi tadi.

“Soalan yang kerap ditanya penumpang ialah di mana nak daftar masuk, pukul berapa penerbangan, di mana di pintu berlepas dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, ini merupakan kali pertama masalah melibatkan sistem pengurusan lapangan terbang, Total Airport Management System, mengalami masalah.

“Setakat ini tiada penumpang yang marah-marah dan mereka memahami masalah yang sedang kita hadapi.

“Proses nak daftar masuk mengambil masa sedikit. Biasa lebih kurang 10 minit, tetapi hari ini lama sedikit kerana segalanya manual,” katanya.

Sementara itu, seorang penumpang yang akan ke Australia, Mahdi Ebadi, 32, tidak mengetahui mengenai masalah teknikal itu.

“Saya baru datang dan tidak tahu ada gangguan sistem tetapi saya lihat semuanya OK.

“Paparan penerbangan tidak berfungsi sekarang, penerbangan saya tidak dipaparkan di bahagian informasi dan saya perlu ke kaunter untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

Jurutera Mekanikal berbangsa Iran itu turut memuji kecekapan Duta Care yang mesra, ramah dan sangat membantu menyelesaikan masalahnya.

Seorang penumpang tempatan, Mohd Hafiz Zulkifli, 25, yang akan ke Kedah bersama tiga ahli keluarganya berkata memang sudah menjadi kebiasaan untuk dirinya datang lebih awal ke lapangan terbang.

“Saya tak tahu pun ada masalah teknikal dan kebiasaanya memang saya akan daftar masuk menggunakan kiosk.

“Jadi bila perkara seperti ini berlaku, ia tidak mendatangkan masalah buat saya,” katanya.

Pengendali lapangan terbang itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan kira-kira 500 petugas ditempatkan untuk membantu penumpang di lapangan manakala sistem berkenaan sedang dipulihkan oleh pasukan teknikal.

“Kami amat mengesali kesulitan yang dihadapi penumpang disebabkan gangguan ini. Kami berusaha untuk memberikan bantuan kepada penumpang dan syarikat penerbangan,” menurutnya.

MAHB menjelaskan bahawa semua pihak berkepentingan seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan juga wakil-wakil syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan telah diberi taklimat tentang perkembangan terkini dan rancangan pengurangan masalah.

– BERNAMA


Pengarang :