Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Gejala rasuah di kalangan penjawat awam, golongan muda membimbangkan

KUALA TERENGGANU, 6 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan sebanyak 4,860 tangkapan dari 2014 sehingga Jun tahun ini dengan 46.3 peratus daripada jumlah itu membabitkan penjawat awam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, kebanyakan kes rasuah melibatkan mereka yang berkhidmat dalam sektor perolehan dan sebanyak 53.4 peratus daripada jumlah tangkapan keseluruhan merupakan golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.

“Malah, satu kajian SPRM tahun lepas merekodkan 22 peratus penjawat awam sanggup menerima rasuah sekiranya mereka ada kuasa. Kalau di kalangan penjawat awam yang masih bekerja jawab begitu, bermakna ini bahaya dan membimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Sementara itu, Shamshun Baharin berkata, dari 2017 hingga Jun tahun ini, sebanyak 99 tangkapan direkodkan di Terengganu dan dari jumlah tersebut sebanyak 53 orang merupakan penjawat awam

“Penjawat awam Kerajaan negeri adalah 10 orang, penjawat awam persekutuan adalah 43 orang dan selebihnya lain-lain. Jumlah tersebut juga membimbangkan namun ia masih lagi rendah berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Sementara itu, DIDI yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk menerapkan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam di negeri ini melalui pelbagai program termasuk latihan, kursus, dan seminar.

Ahmad Samsuri berkata, sebanyak RM2 juta diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan program-program seumpama itu bagi memastikan usaha membanteras rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri berjaya.

“Kita juga akan mendapatkan bantuan nasihat dan teknikal dari SPRM untuk memastikan penerapan nilai-nilai anti rasuah melekat di hati pegawai-pegawai yang bertugas,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :