Datuk Bandar MBPJ, Dato’ Mohd Sayuthi menyerahkan borang juri kepada Namron pada sidang media di Ibu Pejabat MBPJ hari ini.
PBTSELANGOR

Gelanggang Teater II Kota Seni PJ imarahkan kota seni PJ

PETALING JAYA, 7 OGOS: Penganjuran Gelanggang Teater II Kota Seni PJ 2019 dilihat mampu mengimarahkan seni teater ke arah hala tuju Petaling Jaya sebagai kota seni di Selangor.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, penganjuran pertandingan itu sebagai usaha memartabatkan aktiviti kesenian yang bermula 21 hingga 25 Ogos ini.

Bertempat di Auditorium Dewan Sivik MBPJ, katanya, penganjuran teater merupakan kali kedua dianjurkan selepas acara sama tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat teater.

“MBPJ yakin pembabitan penggiat teater di negeri ini mampu bergerak ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita juga mahu seni teater ini sampai ke peringkat antarabangsa serta mampu menarik peminat industri ini dari dalam dan luar negara,” katanya dalam sidang media Pertandingan Gelanggang Teater II Kota Seni PJ 2019 di Ibu Pejabat MBPJ di sini hari ini.

Sayuthi berkata, pemenang akan membawa pulang wang tunai RM5,000 (juara) dan Insentif Pengarahan Terbaik berjumlah RM1,000.

“Naib Johan akan menerima wang tunai RM3,000; Kategori Kumpulan Harapan RM2,000; Anugerah Khas Juri (Karya Pilihan) sebanyak RM1,000.

“Anugerah Teknik/Scenografi Terbaik bakal menerima wang tunai RM1,000, saguhati RM500, Anugerah Pelakon Lelaki terbaik RM300 dan Anugerah Pelakon Wanita terbaik RM300 serta Anugerah Pelakon Harapan RM200.

“Setiap pemenang dan penerima anugerah akan menerima piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, lapan kumpulan teater akan menyertai pertandingan itu tahun ini.

“Penganjuran gelanggang teater ini sekali lagi mendapat kerjasama daripada pihak Majlis Teater Selangor (MTS).

“Kerjasama buat kali kedua ini dilihat mampu meneruskan perkembangan kumpulan atau persatuan penggiat seni teater berdaftar di Selangor untuk terus berkembang maju,” katanya.

Antara panel juri yang akan mengadili pertandingan itu ialah Ketua Pusat Pengajian Teater Fakulti Filem Teater dan Animasi UiTM, Dr Norzizi Zulkifli; Dekan Fakulti Teater ASWARA, Azizul Zahid Jamal dan Pengarah, pelakon dan penggiat seni teater yang berpengalaman luas, Shahili Abdan atau dikenali sebagai Nam Ron.

Orang ramai khususnya penggemar seni teater dijemput hadir untuk menyaksikan persembahan teater itu secara percuma pada 21 hingga 25 Ogos, bermula pada jam 8.30 malam dan 10.30 malam.

Maklumat lanjut mengenai Gelanggang Teater Kota Seni PJ 2019 boleh diperolehi dengan layari laman sesawang www.mbpj.gov.my atau kunjungi laman sosial Majlis (Facebook: @petalingjayacitycouncil), (twitter dan instagram: @pjcitycouncil) atau hubungi Bahagian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBPJ di talian 03-77810178.


Pengarang :