Dinding rumah salah seorang penduduk kampung runtuh susulan gempa bumi bermagnitud 7.4 skala Richter yang melanda Kampung Sukasari di Lembak, wilayah Banten semalam. Foto Dini Hidayat/AFP
AGENDAGLOBAL

Gempa Banten: Lebih 100 rumah rosak

JAKARTA, 3 OGOS: Lebih 100 buah rumah dilaporkan rosak teruk ekoran kejadian gempa di Banten, Jawa Barat semalam.

Berdasarkan data sementara yang dikeluarkan Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia setakat pagi ini, 106 rumah kebanyakannya di Pandeglang dan Lebak, rosak teruk ekoran gempa bermagnitud 7.4 skala Richter itu.

Menurut kenyataan BNPB, seorang wanita berusia 48 tahun dikenali sebagai Rasinah, di Kecamatan Cigemblong, Banten, meninggal dunia akibat panik dan mengalami serangan jantung, manakala empat dilaporkan cedera.

Gempa bumi pukul 7.03 petang semalam yang berpusat di 147km barat daya Sumur-Banten itu turut menggegarkan kota Jakarta yang terletak kira-kira 120km dari Banten.

Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Indonesia (BMKG) yang mengeluarkan amaran tsunami di Pandeglang, Lampung dan Sukabumi, turut menamatkan amaran itu pada pukul 9.35 malam tadi.

Menurut kenyataan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

-BERNAMA


Pengarang :