AGENDAGLOBAL

Gempa bumi: Letak sudu dalam gelas

JAKARTA, 3 OGOS: Gempa bumi terbaharu semalam di Banten, yang turut menggegarkan kota Jakarta, menimbulkan trauma, panik dan kebimbangan warga kota yang didiami lebih 10 juta orang itu.

Warga kota Jakarta yang berada di dalam bangunan dan rumah, bergegas keluar, dan trauma itu berterusan dengan kebimbangan berlakunya gempa susulan lebih kuat malam tadi, yang memungkinkan berlakunya impak besar.

Pesanan mesej berantai kemudiannya tersebar luas melalui aplikasi media sosial: “letak sudu dalam gelas sebelum tidur”.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), dua gempa susulan berlaku, selepas gempa bermagnitud 7.4. skala Richter di Banten pada 7.03 petang semalam, iaitu bermagnitud 5.6 skala Richter pada 11.10 malam dan 4.4 Skala Richter pada 12.22 malam di wilayah Banten.

Dipetik media tempatan berkaitan mesej berantai untuk meletakkan sudu atau garpu dalam gelas sebelum tidur itu, Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Rahmat Triyono, berkata ia sesuatu yang rasional supaya mereka yang sedang tidur terdengar bunyi dentingan sudu atau garpu jika berlaku gempa bumi.

“Ya, kalau berlaku gempa bumi yang kuat, sudu atau garpu yang diletakkan dalam gelas kaca pasti bergoncang dan berbunyi.

“Ia bisa mengejutkan mereka yang tidur, sebagai amaran untuk berevakuasi atau letakkan gelas di tepi meja yang akan jatuh dan mengejutkan mereka yang tidur,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :