Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Gojek: Keselamatan wanita tetap diutamakan

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Keselamatan kaum wanita akan tetap menjadi keutamaan ketika mereka menggunakan khidmat e-hailing, iaitu motosikal Gojek.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, piawaian keselamatan yang ditetapkan kelak akan membolehkan kaum wanita mempunyai pilihan ke atas perkhidmatan itu.

“Lebih baik Menteri Pengangkutan yang bercakap berhubung perkara ini (keselamatan), namun yang pasti akan ada piawaian yang akan ditetapkan.

“Sebagai contoh, di negara lain, mereka mempunyai Pink Version Gojek khusus untuk wanita bagi membantu golongan ini mempunyai pilihan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Program Bicara Kemerdekaan Kedua di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada akan membenarkan Dego Ride turut beroperasi seperti Gojek di Malaysia, Syed Saddiq berkata, pihaknya sedia maklum syarikat tempatan itu sangat berminat dan pernah menawarkan khidmat pada 2016 sebelum dihentikan oleh kerajaan terdahulu atas faktor keselamatan.

“Saya fikir ia adalah satu petanda yang sangat baik dan saya mahu pastikan pengguna tempatan yang akan mendapat manfaat daripadanya. Tiada sesiapa boleh monopoli dan fakta bahawa Dego Ride diketepikan sebelum ini, adalah satu daripada sebab utama kenapa kami mahu melakukan ini.

“Secara realiti kami mahu Dego Ride, Gojek dan Grab serta yang lain untuk bersaing dan memastikan kepentingan itu akan dilindungi,” katanya.

Pada masa sama, Syed Saddiq berkata, beliau tidak boleh mengawal fahaman politik pegawai dan kakitangan di bawahnya selepas disoal berhubung dakwaan pelantikan 13 ahli Armada bagi mengisi jawatan pegawai penyelaras pembangunan sukan, Kementerian Belia dan Sukan di setiap negeri.

“Saya ada lebih 4,000 pegawai dan kakitangan, jadi amat mustahil untuk saya mengetahui fahaman politik setiap mereka.

“Selagi proses atau prosedur diikuti, kita tidak akan mendiskriminasikan sesiapa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :