EXCOSELANGOR

Guru palsu di media sosial tingkat masalah remaja

AMPANG, 9 OGOS: Peningkatan masalah gejala sosial dalam kalangan remaja semakin parah gara-gara wujudnya lambakan guru palsu di laman media sosial yang menjadi ikutan golongan berkenaan.

EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, ini ekoran golongan remaja dan belia kini amat mempercayai medium media sosial yang diikuti mereka sehingga ada yang dipilih untuk menjadi panduan hidup.

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya berasa bimbang apabila mendapati laman media yang mempengaruhi golongan remaja itu turut mempunyai ramai guru yang memberi tunjuk ajar mengenai pelbagai topik termasuk topik untuk mendekati dadah.

“Kebimbangan itu jelas apabila kes dadah di kawasan Ampang dan Pandan dilihat agak tinggi.Ini antaranya berpunca daripada penggunaan media sosial yang semakin kerap oleh golongan remaja sehingga mendedahkan mereka kepada perkara-perkara yang tidak baik,”jelas beliau.

Izham memberitahu, sebagai ibu-bapa, sudah pasti perkembangan sebegini menakutkan dan mereka menunggu tindakan segera untuk membendung masalah tersebut.

“Bagi mendekati masalah ini, kerajaan negeri mungkin boleh mengadakan sesi townhall atau pendengaran awam secara lebih kerap bagi membolehkan sebarang permasalahan dibangkitkan oleh ibu bapa atau guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sesi Townhall Status Ekonomi Sosio (SES) Peringkat Negeri Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Jaya, semalam.

Hadir sama pada sesi itu kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada guru, ibu bapa dan juga pelajar sekolah.

Izham berkata, fokus utama sesi pendengaran awam itu adalah bagi membantu murid SMK Pandan Jaya yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah terutamanya dalam golongan B40.

“Murid-murid di sini memperolehi tahap pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia yang agak rendah tetapi sejak tiga tahun kebelakangan ini pencapaian sekolah itu semakin baik,”katanya.




Pengarang :