Selangorkini
AGENDA GLOBAL

Hanya 36 peratus rakyat sokong pentadbiran Trump

WASHINGTON, 23 OGOS: Sebanyak 36 peratus rakyat Amerika Syarikat menyokong pentabiran Presiden Donald Trump, sementara 62 peratus lagi tidak bersetuju, menurut hasil tinjauan baru-baru ini.

Hampir lapan daripada 10 Republikan berpuas hati dengan prestasi keseluruhan Trump manakala 20 peratus lagi sebaliknya, lapor agensi berita Xinhua.

Berdasarkan tinjauan AP-NORC, 94 peratus daripada Demokrat dan kira-kira dua pertiga calon bebas menentang kepemimpinan Trump.

Angka ini agak konsisten. Kadar populariti Trump tidak pernah menurun di bawah 32 peratus atau meningkat di atas 42 peratus sejak menerajui pentadbiran negara pada Januari 2017, kata Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Awam AP-NORC.

Seramai 46 peratus rakyat Amerika menyokong cara Trump mengendalikan ekonomi, 51 peratus lagi tidak bersetuju.

Mengenai isu lain, hanya 36 peratus rakyat Amerika menerima baik dasar luar dan dasar senjata Trump, 37 peratus menyokong dasar penjagaan kesihatan dan hanya 38 menyokong dasar imigresennya.

Tinjauan membabitkan 1,058 responden dewasa dijalankan 15 hingga 19 Ogos.

– BERNAMA


Pengarang :