AGENDANASIONAL

Harga 2 cawan ‘bubble tea’ di Malaysia mampu bantu sebuah keluarga Syria

SHAH ALAM, 7 OGOS; Harga dua cawan ‘bubble tea’ dibeli rakyat negara ini sudah boleh membantu sebuah keluarga di Syria. Demikian diibaratkan oleh penggerak Kumpulan Syria Care Projects yang menggambarkan kesusahan hidup rakyat di negara yang bergolak itu.

Kumpulan itu di laman facebooknya memberitahu, harga dua cawan ‘bubble tea’ bersamaan dengan harga sekilogram daging kambing di negara itu sekali gus mencukupi buat sebuah keluarga di Syria untuk meneruskan kehidupan harian mereka.

“Tanpa sedar, kita sebenarnya sudah banyak berbelanja untuk diri sendiri serta mengikut gaya semasa antaranya seperti membeli ‘bubble tea’.

Harga segelas minuman `bubble tea’pelbagai jenama yang menjadi ikutan penduduk negara ini sekitar RM5 hingga RM15.

Justeru mengikut kenyataan kumpulan tersebut, sempena Aidiladha pada Ahad ini, diseru rakyat negra ini mencabar diri masing-masing untuk berkongsi rezeki demi kebahagian orang lain.

“Adakah anda sanggup menyahut cabaran #RM30Challenge Syria Care”. Sebagai manfaatnya secara tidak langsung kita telah melakukan amal ibadah,” kata kenyataan itu.

Kumpulan Syria Care Projects menyeru penduduk di negara ini untuk menyumbangkan sebanyak RM30 melalui kempen berkenaan.

Jelas kenyataan itu lagi, pihaknya memerlukan 3,000 individu untuk sama-sama menyumbang sebanyak RM30 untuk setiap orang bagi mengumpul sumbangan sebanyak RM90,000.

Wang sumbangan tersebut akan digunakan untuk membeli 90 ekor kambing buat penduduk Syria.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menghulurkan sumbangan masing-masing menerusi akaun bank Affin Islamic (105990040004), Bank Mualamat (12020003634715), CIMB Islamic (8601894560), Maybank Islamic (562106653575) atau RHB Islamic (26225000021775).

Untuk sumbangan atas talian pula orang ramai boleh melayari menerusi http://www.syriacare.org.my/donate/.


Pengarang :