AGENDANASIONAL

Hasil bidaan JPJeBid cecah lebih RM16 juta

KOTA BHARU, 26 OGOS: Hasil kutipan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip lebih RM16 juta sejak ia diperkenalkan April lepas.

Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan Ibu Pejabat JPJ, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, nilai kutipan berkenaan melibatkan 14 siri bidaan melalui JPJeBid yang telah dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Johor.

“Untuk kali ini, kita lancarkan JPJeBid bagi negeri Kelantan dan Pahang dan kami menjangkakan ia dapat dilaksanakan di semua negeri sehingga penghujung November nanti,” katanya pada sidang media pelancaran JPJeBid di JPJ Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPJ Pahang, Muhammad Abdullah; Timbalan Pengarah merangkap Pemangku Pengarah JPJ Kelantan, Azhan Abdul Hadi; Timbalan Pengarah JPJ Pahang, Nazili Kadir; Ketua Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ Kelantan, Mohamad Apandi Jusoh dan Ketua Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ Pahang, Dasiman Mat Zain.

Pada majlis berkenaan, JPJ buat pertama kali melancarkan bidaan serentak melibatkan dua negeri iaitu nombor pendaftaran kenderaan Siri DDP bagi negeri Kelantan dan CEE bagi negeri Pahang melalui sistem JPJeBid.

Mohd Rusdi berkata, sistem yang diperkenalkan ini menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat tanpa campur tangan manusia.

Katanya, sistem bidaan bagi Siri DDP dan CEE akan dibuka selama lima hari bermula 30 Ogos nanti pada pukul 12 tengah malam sehingga 3 September pukul 11.59 malam dan keputusan bidaan akan diumumkan pada 4 September.

“Harga bidaan tersebut adalah mengikut kategori iaitu nombor bernilai utama RM20,000, nombor menarik RM3,000, nombor popular RM800 dan nombor biasa RM300.

“Setiap kategori tersebut akan menggunakan kadar kenaikan bidaan minimum sebanyak lima peratus mengikut harga nombor. Kaedah bayaran pula menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan sahaja,” katanya.

Katanya, pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan kadar pendaftaran sebanyak RM10 dan setiap individu yang membida layak memenangi maksimum tiga nombor pendaftaran manakala pemilik perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan.

Mana-mana nombor yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pengumuman yang dikeluarkan JPJ Negeri atau cawangan.

– BERNAMA


Pengarang :