BERITA UTAMA

Hebatnya komando sampai tahu najis lelaki atau wanita

GEORGE TOWN, 22 OGOS: Tidak semua anggota tentera layak menyertai unit gerak khas atau komando kerana selain memerlukan jiwa yang kental untuk mempertahankan negara, anggota unit ini juga perlu memiliki kemahiran dan kecekapan dalam pelbagai teknik untuk menangani musuh.

Berkongsi pengalaman berkhidmat ketika negara masih menghadapi ancaman komunis, bekas komando, Mohd Kasim Mad Zain, 75, berkata, beliau dapat menghidu pergerakan pengganas itu melalui jalan yang dilalui mereka.

“Komunis ini memang pandai bermuslihat. Mereka ada cara tipu helahnya. Di dalam hutan para komunis ini akan berjalan dengan cara mengundur. Tapi sebenarnya mereka melangkah ke hadapan. Apabila mengesan tapak kaki ini, kami akan berhati-hati dan tahu ia merupakan laluan yang dilalui komunis itu.

“Menerusi tapak kaki mereka itu juga kita dapat mengesan haluan arah tuju mereka sama ke sebelah kiri atau ke kanan,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai jurulatih payung terjun di Kem Sungai Udang, Melaka.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, anak kelahiran Sungai Pinang, Balik Pulau ini boleh dianggap bertuah kerana tidak mengalami sebarang kecederaan biarpun turut berdepan beberapa episod hitam ketika menjalankan tugas.

Mohd Kasim berkata, beliau pernah berjalan kaki selama dua minggu dari Slim River, Perak ke Raub Pahang dan menyaksikan serangan yang berlaku di Gubir, Sik, Kedah sehingga mengorbankan lima wira negara pada 1975.

Beliau juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana boleh membezakan najis wanita dan lelaki.

“Pakcik tidaklah pandai sangat, tetapi boleh tahu bila tengok najis dalam hutan itu sama ada najis wanita atau lelaki. Jika nak tahu najis wanita ia basah dan najis lelaki ia biasanya kering. Melalui keadaan najis itu juga pakcik boleh tahu berapa jam dah ia dibuang,” kata bapa kepada enam anak itu.

Sementara itu, pesara polis M.G. Sagar, 59, berkata, darah kesatria daripada tubuh ibu bapanya yang merupakan pasangan polis di zaman British pada 1955 itu mengalir dalam dirinya yang berminat menjadikan bidang kepolisan sebagai kerjaya selama 39 tahun.

Mula berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1980 dan memulakan tugas di Pasukan Polis Hutan (kini Pasukan Gerakan Am) di Pengkalan Chepa, Kelantan, Sagar turut melalui pengalaman berdepan komunis.

“Ancaman komunis memang sentiasa ada. Ada ketika dan masa mereka memang mencabar pasukan polis. Kadang-kadang mereka boleh ganggu kita punya set, mereka kata kita anjing kerajaan, memang pernah dengar suara-suara macam itu.

“Sungguh pun demikian, memang jarang sekali kita boleh jumpa komunis, susah sangat jumpa komunis di dalam hutan, mereka licik, tetapi pasukan PDRM lagi licik daripada komunis dan dapat mengesan jejak mereka,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :